MahkamahNasional

Rosmah mohon dapatkan pasport, anak dan cucu tak sihat

ISTERI bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi memohon untuk mendapatkan sementara pasportnya daripada Mahkamah Rayuan bagi membolehkannya melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa Najib dan keluarganya di Singapura.

Rosmah membuat permohonan buat kali ketiga menerusi notis usul bertarikh 2 Jun lalu untuk mendapatkan dokumen perjalanan berkenaan selama empat minggu iaitu dari 6 Jun hingga 7 Julai ini.

Sebelum ini, Rosmah dibenarkan mendapatkan sementara pasportnya pada 15 Oktober 2021 bagi melawat Nooryana yang bersalin anak kedua dan yang kedua pada 21 Mac lalu, juga untuk melawat Nooryana dan cucu lelakinya yang tidak sihat.

Perkara itu disahkan peguamnya, Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi pemberita hari ini, menurut laporan Berita Harian.

Dalam afidavit sokongan notis usul itu, Rosmah berkata, beliau dinasihati oleh peguamnya bahawa permohonan untuk mendapatkan dokumen perjalanan itu adalah teratur dan pendakwaan tidak mempunyai apa-apa bantahan terhadapnya.

“Atas dasar itu, saya dengan rendah diri memohon kepada mahkamah suatu kebenaran untuk membenarkan pasport antarabangsa saya diambil oleh saya, untuk saya menggunakannya bagi mengadakan lawatan peribadi bagi melawat anak perempuan saya dan keluarganya di Singapura,” katanya.

Rosmah berkata, beliau mengaku janji untuk menyerahkan kembali pasport itu kepada mahkamah dengan segera atau selewat-lewatnya seminggu selepas pulang dari Singapura.

Permohonan Rosmah itu akan didengar Mahkamah Rayuan esok.

Rosmah merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 1 September tahun lepas yang mendapati beliau bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Tetapi membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya yang akan didengar Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini. – SM

BUAT Perbicaraan Rosmah Mansor ditangguhkan

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button