Ekonomipilihan

Ringgit di kedudukan pertama berbanding mata wang negara serantau pada pertengahan Mei

PENINGKATAN nilai ringgit mendorong mata wang tempatan berada pada kedudukan pertama berbanding sembilan mata wang negara serantau lain pada pertengahan Mei 2024, dipacu tindakan bersepadu yang dilaksanakan sejak tiga bulan lepas oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Kementerian Kewangan dalam kenyataan di platform X menjelaskan dari 26 Februari sehingga 17 Mei tahun ini, ringgit meningkat 2.0 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), manakala dolar Singapura, yuan China, rupee India dan baht Thailand masing-masing susut -0.2 peratus, -0.4 peratus, -0.7 peratus dan 1.0 peratus.
Kementerian itu menambah strategi bersepadu Kerajaan Madani membolehkan ringgit mengukuh dengan purata harian jumlah dagangan pasaran kewangan meningkat kepada US$17.6 bilion (US$1 = RM4.71) dalam tempoh itu.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah menggalakkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membawa pulang pendapatan langsung asing dan meningkatkan interaksi dengan pengeskport untuk menukar hasil kepada ringgit.
Selain memantau penukaran hasil eksport dan import, kerajaan turut memperkukuh ekonomi tempatan dan meneruskan reformasi fiskal yang dijanjikan, menurut MOF.
“Dengan prospek Rizab Persekutuan mula menurunkan kadar faedahnya dalam tahun ini. Ini merupakan pemangkin kepada pemulihan nilai ringgit.
“Namun begitu, Malaysia juga telah menggerakkan beberapa usaha untuk menarik minat pelabur ke aset-aset tempatan,” demikian menurut kenyataan itu.
MOF juga menekankan di samping itu, kenaikan bilangan pelancong dari luar negara juga telah meningkatkan permintaan ringgit, dan sekali gus menyumbang kepada pengukuhan nilai mata wang domestik. – SM
(Visited 30 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button