Nasional

Rina, ibu sembuh Covid-19, minta masyarakat patuhi SOP

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang dijangkiti Covid-19 pada 10 Januari lalu kini sembuh sepenuhnya daripada virus tersebut.

Selain dirinya, ibunya juga sembuh sepenuhnya hari ini dan telah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani rawatan dan tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

“Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang tahu betapa hiba hati saya saat dimaklumkan ibu saya juga positif Covid-19 sehari selepas saya disahkan positif wabak tersebut pada 10 Januari 2021 yang lepas.

“Pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah mengutuskan doa agar saya dan ibu saya segera sembuh, dan memberikan kata-kata semangat buat saya dalam berdepan dengan ujian ini,” kata Rina.

Beliau turut berterima kasih terhadap petugas barisan hadapan yang tidak mengenal erti letih dan lelah merawa pesakit Covid-19 termasuk dirinya.

Rina meminta seluruh rakyat Malaysia supaya menjaga diri dan mematuhi porsedur operasi standard (SOP) bagi memastikan setiap lapisan rakyat dilindungi daripada jangkitan virus yang boleh membawa maut itu.

“Tidak akan saya lupakan setiap titik keringat dan jerih payah para petugas barisan hadapan, terutamanya para pegawai perubatan dan kakitangan Hospital Sungai Buloh yang telah memberikan saya layanan yang sempurna dan mesra sepanjang saya menerima rawatan di hospital tersebut.

“Jasa dan pengorbanan kalian tidak akan dilupakan dan tidak mampu dibalas melainkan utusan doa agar semua petugas barisan hadapan terus dilindungi dalam menyempurnakan tugas dan khidmatnya menyantuni para pesakit.

“Akhir kata, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang saya kasihi, jagalah diri, patuhi SOP, agar setiap dari kita terus dilindungi,” kata Rina.

Rina antara 16 ahli politik yang dijangkiti Covid-19 setakat ini.-SM

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button