Ribut: Kami bertempiaran lari selamatkan diri – penduduk
MELAKA 22 Feb. – Biarpun berlaku hanya 10 minit namun ribut yang melanda lewat petang semalam merupakan pengalaman pahit yang sukar dilupakan oleh penduduk di Kampung Krubong.
Mereka tidak pernah berdepan dengan situasi paling getir sewaktu berada di ruang tamu sewaktu hujan tiba- tiba bahagian bumbung tercabut menyebabkan masing-masing bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Ada yang keluar dari rumah berlindung di rumah jiran, ada pula menyorok di bawah meja dan di bawah katil.
Menceritakan detik-detik cemas dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang seorang mangsa Hashim Latiff, 58, berkata, sebelum ribut melanda, dia bersama 12 ahli keluarga termasuk isteri, anak, menantu dan cucu sedang leka menonton siaran televisyen.
Menurutnya, tiba-tiba rumahnya bergoyang kuat dibadai angin kuat sebelum disusuli ribut menyebabkan suasana menjadi hiruk-pikuk dengan jeritan anak dan cucunya lari menyelamatkan diri.
“Kami sekeluarga bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas bumbung rumah bahagian depan tercabut diterbangkan ribut.
“Ketika itu ribut memadai atap rumah bahagian depan hingga tercabut menyebabkan kami sekeluarga ada yang menyorok di bawah meja, di bawah katil dan mujurlah tiada seorang ahli keluarga mengalami kecederaan.
“Melainkan ipar saya dahinya luka terkena kayu yang diterbangkan ribut yang sangat kencang dan belum pernah kami alami setakat ini,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Hashim adalah salah seorang mangsa daripada sembilan buah rumah yang terjejas di Kampung Krubong ekoran
kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan seperti di Kampung Tanah Merah, Kampung Lanjut Manis, Kampung Sungai Badau dan Kampung Ladang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Keseluruhan 44 buah rumah di DUN berkenaan terjejas dan paling teruk dengan bahagian bumbung tercabut ialah di Kampung Tanah Merah membabitkan enam daripada 12 rumah yang rosak teruk akibat insiden tersebut.
Hashim menambah, kejadian ribut itu adalah pertama kali berlaku di kampungnya.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Yusof Mat, 60, berkata, kejadian tersebut benar-benar cukup menakutkan kerana belum pernah terjadi kampung tersebut dilanda musibah seperti itu.
“Saya bersama isteri dan seorang anak berada di ruang tamu dan terkejut dengan bunyi hentakan kuat dan berdesing hingga menyebabkan kami lari ke luar rumah berlindung di rumah jiran.
“Habis kepingan zink atap rumah di dapur, ruang tamu dan bilik diterbangkan ribut. Mujurlah kami sekeluarga tidak cedera,” ujarnya.
Bagi Sabudin Wahab, 67, pula berkata, dia bersama isteri turut lari ke luar rumah menyelamatkan diri berlindung di rumah jiran apabila bumbung di luar rumahnya tercabut diterbangkan angin kencang.
“Belum pernah saya alami ribut yang sebegini teruk dan mujurlah ia berlaku dalam tempoh sepuluh minit kalau lebih lama saya tak tahu apa nasib kami,” ujarnya. -SM