Remaja usia 18 tahun belum dibenarkan mendaftar pengundi – SPR
REMAJA berusia 18 tahun masih belum dibenarkan mendaftar sebagai pengundi sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 bulan lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan remaja berusia 18 tahun akan dibenarkan mendaftar sebagai pengundi pada bulan Julai 2021.
Justeru, Unit Komunikasi Korporat SPR menolak dakwaan mesej tular kononnya Pengerusi SPR membuat kenyataan terdapat 4.5 juta rakyat yang layak mengundi khususnya berusia 18 tahun masih belum mendaftar.
“Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia ingin memaklumkan terdapat usaha giat oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengelirukan orang ramai berkenaan gesaan untuk pendaftaran pengundi berusi 18 tahun.
“Hakikatnya, warganegara yang berusia 18 tahun ini masih belum dibenarkan mendaftar sebagai pengundi,” kata SPR.
SPR menegaskan pihaknya kini dalam persiapan untuk melaksanakan pendaftaran pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.
Ini selaras dengan pindaan Perkara 119 (4) Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas.
Persiapan tersebut termasuklah penyediaan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftar Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan.
Persediaan juga merangkumi penyediaan prosedur operasi standart dan penyediaan sistem dan infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.
“SPR menjangkakan semua perkara ini akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019.
“Jangkaan tarikh pelaksanaan tersebut adalah selewat-lewatnya pada bulan Julai 2021,” kata SPR/
Justeru SPR menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dan menyebarkan mesej-mesej palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.
Menurut SPR, tindakan menyebarkan maklumat tidak benar dan berunsur perkauman boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.
Tindakan perundangan boleh diambl ke atas mereka yang terlibat dalam menyebarkan berita palsu.-SM