PM lakukan lawatan kerja ke UAE minggu hadapan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) dari 12 hingga 14 Januari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (KLN), lawatan Anwar ke UAE atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Anwar akan diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
“Perdana Menteri akan menyertai Majlis Pembukaan ADSW dan Majlis Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed bersama Ketua-ketua negara dan kerajaan dari rantau Afrika, Asia, Asia Tengah, Eropah, dan Timur Tengah.
“Program ADSW 2025 turut merangkumi sesi plenari yang mana Perdana Menteri akan menyertai dialog bertajuk ‘ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’,” kata kenyataan itu pada Sabtu.
Pada masa sama, KLN yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan semasa lawatan tersebut, Anwar dijadual untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Sheikh Mohammed.
Jelas kenyataan itu, perbincangan dijangka tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan.
Antaranya, sektor utama seperti tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan serta pusat data.
“Di sela ADSW, Perdana Menteri dijadual menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA). Perjanjian ini akan membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
“Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri juga akan meneroka peluang untuk mengukuhkan kerjasama serantau, terutamanya dalam konteks peranan ASEAN dalam mempromosikan pembangunan lestari dan inovasi hijau di Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.Tambah Wisma Putra, Anwar juga akan berlepas ke London, United Kingdom pada 14 Januari bagi meneruskan program rasmi sebagai usaha untuk meningkatkan kedudukan global Malaysia dan memperkukuhkan hubungan strategik dengan rakan antarabangsa utama.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE bernilai RM39.53 bilion (AS$8.61 bilion).
Pada 2023, UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, dengan jumlah dagangan sebanyak RM39.63 bilion (AS$8.67 bilion).
Malaysia ialah rakan dagang keempat terbesar UAE dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan ke-32 terbesar di peringkat global.