Rejimen 504 AW terima sumbangan YTSP
Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) memperuntukkan sumbangan khas berbentuk peralatan keperluan asas operasi yang belum diperolehi melalui saluran pemerintahan biasa bernilai RM5,000 kepada Rejimen 504 Askar Wataniah, Tentera Darat Malaysia.
Sumbangan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis itu adalah sebagai tanda sokongan kepada rejimen berkenaan yang dibarisi selain anggota tetap, juga para sukarelawan dan sukarelawati dari pelbagai latarbelakang hidup yang diaturgerakkan bagi terlibat sama dalam Operasi PENAWAR di bawah perintah Markas 30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia untuk membantu pihak berkuasa awam dalam memastikan rakyat mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak COVID-19 sejak 23 Mac 2020 yang lalu.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah sekali lagi mengulangi titah ucapan syabas dan terima kasih kepada semua para petugas barisan hadapan secara langsung mahupun tidak langsung dalam menghadapi krisis virus pandemik COVID-19 ini yang merupakan ‘Wira dan Wirawati Negara’ berkhidmat untuk keselamatan rakyat, sanggup mengorbankan nyawa dan masa, tanpa mengira penat dan lelah, tiada mengharapkan sebarang balasan demi untuk memastikan negara pulih segera seperti sedia kala.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengajak semua rakyat agar menyahut slogan tentera bagi Operasi PENAWAR pada kali ini iaitu “Stay Healthy, Protect Yourself“ dan ‘Marilah kita bersama-sama berganding bahu memerangi wabak virus berupa musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kita ini secara habis-habisan dan saling ingat memperingati dengan mematuhi 100% segala arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa. Pada masa yang sama, hargailah pengorbanan wira dan wirawati barisan hadapan negara dengan ‘Duduk Di Rumah’ melaksanakan tanggungjawab besar kita bagi menghentikan rantaian wabak COVID-19 ini dari terus menular’.
Sementara itu, Timbalan Komander rejimen berkenaan yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri Perlis, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak yang amat mengalu-alukan kelulusan yang dimaklumkan melalui Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, Datuk Johari Mohd Darus tersebut berkata antara barangan yang akan dibuat perolehan menggunakan peruntukan tersebut adalah seperti pencuci tangan antibakteria, penutup mulut dan hidung, sarung tangan perubatan, pengukur suhu, sabun pencuci pakaian, sabun mandian antibakteria, plastik sampah dan clorox yang secukupnya untuk menampung semua para anggota yang terlibat.
Tambah Mohamad Zaidi lagi, buat ketika ini seramai 92 orang Pegawai dan juga anggota lain-lain pangkatnya bertugas dalam Operasi PENAWAR ini yang melibatkan 54 Kumpulan Pelaksanaan di barisan hadapan, 32 dalam Kumpulan Sokongan dan 6 lagi adalah Kumpulan Perancang. – SM