Bola SepakSukan

Rashford lancar petisyen banteras kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak

MARCUS Rashford telah melancarkan petisyen bagi menggesa kerajaan memperbanyakkan makanan sekolah percuma dalam usaha terbarunya untuk mengakhiri kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak.
Bintang Manchester United itu lantang bersuara memperjuangkan isu tersebut sejak beberapa bulan lalu, dan dia telah dianugerahkan MBE, hujung minggu lepas di atas usaha kerasnya membela anak-anak yang kurang bernasib baik.
Perjuangan Rashford itu masih belum selesai, dan dia telah merayu orang ramai memberikan sokongan penuh kepadanya dalam usaha untuk membantu golongan yang sangat memerlukan di United Kingdom.
“Apa sahaja penilaian dan pendapat anda, kanak-kanak tidak seharusnya dipersalahkan kerana masalah kedaifan mendapatkan bekalan makanan. Marilah sama-sama melindungi generasi muda kita.
“Kita perlu saling bekerja sama dan berdiri teguh untuk menyatakan apa yang berlaku ini tidak boleh diterima, sebab itu kita perlu bersatu bagi melindungi anak-anak kita.
“Hari ini, jutaan kanak-kanak terpaksa hidup dalam keadaan persekitaran yang serba kekurangan dan mula mempersoalkan apakah maknanya menjadi bangsa British.
“Saya menggesa anda, hari ini, untuk membantu saya membuktikan kepada mereka bahawa menjadi bangsa British adalah sesuatu yang perlu dibanggakan,” kata pemain kelahiran Manchester itu.
Petisyen Rashford yang dilancarkan menerusi atas talian adalah untuk menggesa kerajaan bagi meningkatkan bekalan makanan percuma di sekolah untuk lebih 1.5 juta kanak-kanak.
Hampir sejuta kanak-kanak dianggarkan telah mendaftar untuk makanan percuma di sekolah sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan pandemik yang melanda dunia antara punca kepada bilangan tersebut meningkat.
“Pada ketika ini, generasi yang menjadi mangsa pandemik berdepan dengan kekurangan akses sumber pendidikan telahpun kembali ke sekolah, tetapi mereka bergelut untuk memberikan tumpuan kerana berasa bimbang perut mereka bakal berkeroncong lagi,” kata Rashford.
Pemain antarabangsa England itu menjadi tumpuan ramai selepas desakannya berjaya membuat kerajaan melakukan pusingan-U untuk bekalan baucar makanan pada musim cuti, Jun lalu.
Tindakan yang diusahakan pemain berusia 22 tahun itu, yang pernah menggunakan baucar makanan sekolah percuma, nampaknya bakal meningkatkan tekanan ke atas kerajaan bagi membantu ratusan ribu keluarga yang berdepan masalah kerana tidak mampu membeli makanan. – Mirror UK – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button