HiburanLuar Negara

Rapper India Sidhu Moose Wala mati ditembak

SHUBHDEEP Singh Sidhu atau dikenali sebagai Sidhu Moose Wala, penyanyi rap dari India dan turut dikenali di Kanada dan Britain, mati ditembak berhampiran perkampungannya dalam kejadian yang dikaitkan dengan kumpulan gangster.

Menurut polis, Sidhu Moose Wala ditembak kira-kira 30 kali oleh suspek yang menaiki dua atau tiga kereta di Punjab, petang semalam.

Sidhu Moose Wala mempunyai 11 juta pengikut di YouTube selain jutaan peminat.

ORANG ramai membanjiri perkarangan rumah SHUBHDEEP Singh Sidhu atau dikenali sebagai Sidhu Moose Wala di Punjab.

Ketua Polis negeri, Viresh Kumar Bhawra menyifatkan kejadian seperti pergaduhan yang berlaku itu melibatkan kumpulan gangster.

Beliau berkata, gangster berpangkalan di Kanada dikenali sebagai Goldy Brar mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu bagi pihak geng Lawrence Bishnoi.

Bhawra yang dipersoal kerana mengurangkan pasukan pengawal Sidhu Moose Wala minggu lalu menjelaskan, mangsa tidak membawa pengawal peribadinya atau memandu kenderaan kalis pelurunya ketika kejadian.

Sidhu Moose Wala, 28, mempunyai ramai peminat dalam kalangan pemuda Punjabi dengan video-video yang “menyerang” penyanyi lain dan ahli politik.

Beliau turut memaparkan dirinya sebagai pejuang maruah masyarakatnya yang membawa keadilan dan menghapuskan saingannya.

Sidhu Moose Wala malah bertanding sebagai calon dalam parti Kongres awal tahun ini namun beliau kalah.

Usahanya menceburi bidang politik mencetuskan kritikan hasil kerjanya dengan saingannya menuduh Sidhu Moose Wala menyokong penggunaan senjata api, semangat nasionalisme Sikh dan budaya gangster.

Penyanyi rap Kanada, Drake memuat naik gambar Sidhu Moose Wala bersama ibunya di Instagram dengan menyuarakan rasa terkejut atas kejadian itu.

Ketua Menteri Punjab, Bhagwant Mann hari ini mengumumkan pembentukan suruhanjaya kehakiman dan berjanji pelaku kejadian itu akan dihukum.

Punjab merupakan laluan transit utama untuk dadah yang memasuki India dari Afghanistan serta Pakistan dan isu itu menjadi debat politik panas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ramai yang mengaitkan perdagangan narkotik lazimnya melibatkan heroin dan candu dengan peningkatan keganasan berkaitan geng serta penggunaan senjata api haram di negeri itu. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button