RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya Kerajaan Negeri meneruskan kesinambungan projek yang dirancang dibawah pimpinan terdahulu malah merancang pembangunan-pembangunan baharu yang berpotensi untuk diketengahkan.
Baginda percaya Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) untuk menarik minat pelabur ke negeri ini.
Dalam hal ini, Baginda mengingatkan supaya perhatian kepada proses dan peraturan perlu ditambah baik dalam membawa masuk lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
Titah Baginda, tunjukkan sifat mesra pelabur dengan memberi fasilitasi dan memudahcara urusan mereka.
“Beta yakin melalui penambahbaikan dan pendekatan ini, akan meletakkan Perlis sebagai salah satu destinasi baharu pelaburan negara,” titah Baginda.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mewakili Raja Perlis dan menzahirkan titah ucapan Baginda sempena Istiadat Perasmian dan Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks DUN hari ini.
Berkenan berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Tuanku Syed Sirajuddin juga bertitah Kerajaan Negeri perlu bijak meneroka sumber- sumber baharu yang boleh mendatangkan hasil kepada negeri.
“Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Negeri berfikir secara kritis dan serius untuk mempelbagai hasil negeri ini dan tidak bergantung kepada kutipan hasil cukai tanah dan premium semata-mata,” titah Baginda.
Titah Baginda, Jabatan serta Agensi negeri boleh memfokuskan kepada pengeluaran produk hiliran, penelitian semula caj-caj kemasukan tempat pelancongan, menyewakan lot-lot atau tapak-tapak tanah kerajaan bagi tujuan aktiviti perniagaan, dan lain-lain yang difikirkan wajar.
Baginda bertitah, elemen penguatkuasaan juga perlu dipergiatkan supaya hasil negeri dapat ditingkatkan di samping memudahkan proses penyewaan tapak-tapak perniagaan ini. – SM