Nasional

Rakyat Perlis solat Aidilfitri di tanah lapang

BUAT kali ketiga, rakyat Perlis berpeluang melakukan solat Aidilfitri di kawasan tanah lapang.

Sekaligus ia memberi satu pengalaman baharu khususnya kepada anak rantau yang berpeluang balik beraya di kampung pada tahun ini.

Jumaat lalu, Raja Muda Perlis, Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, solat Aidilfitri di Perlis digalakkan untuk dilaksanakan di tanah lapang.

Bagaimanapun titah baginda, ia bergantung kepada Ahli Jawatankuasa Kariah masjid masing-masing.

Difahamkan antara masjid yang memilih untuk melaksanakan solat Aidilfitri di tanah lapang termasuk Masjid Alwi, Kangar; Masjid Padang Katong; Masjid Al Mustaqim, Seriab; Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Sena dan Masjid Sirajuddin, Padang Pauh.

Sementara Masjid Al Ghufran Batu 2 Lama dan Al Istiqamah, Telok Jambu Bintong memilih solat di dalam masjid.

Bilal masjid Al Istiqamah, Helmi Mohd Isa berkata, hanya kali ini solat Aidilfitri dilakukan dalam masjid berbanding semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia dilaksanakan di tanah lapang.

Katanya, keluasan masjid ini sejak dinaik taraf memang dapat menampung jumlah jemaah yang besar.

Sementara itu salah seorang jemaah, Saodah Othman, 62 bersyukur dapat solat Aidilfitri tanpa lagi ada penjarakan sosial.

Katanya, lebih sempurna kali ini apabila pertemuan dengan rakan-rakan dapat menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Tinjauan Suara Merdeka mendapati, rata-rata jemaah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, pihak Jawatankuasa Masjid juga turut mengedarkan pelitup muka untuk jemaah.

Terlihat wajah riang di kalangan jemaah apabila buat pertamakali berpeluang untuk saling bersalam-salaman.

Bagaimanapun masing-masing faham supaya selepas itu tidak menyentuh muka dan mencuci tangan. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button