Rakyat Perlis perlu bersedia terima pembangunan dengan pemikiran terbuka – Raja Muda Perlis
Dalam usaha menjadikan Perlis sebuah Negeri Bandaraya Menjelang Tahun 2030 melalui segala perancangan pembangunan fizikal serta pertumbuhan ekonominya, jumlah penduduk negeri ini juga secara tidak langsung dijangka akan meningkat melalui pertambahan bilangan warga kerja, pelajar dan juga pemain industri sokongan berkaitan.
Oleh yang demikian, semua pihak di negeri ini hendaklah menerima hakikat bahawa pembangunan akan membawa kepada perubahan dalam masyarakat.
Justeru, rakyat di negeri ini hendaklah bersedia untuk menangani sebarang masalah sosial yang mungkin akan terjelma akibat daripada pertambahan penduduk dan kehadiran berbagai gelagat manusia dari berbagai lapisan masyarakat.
Sesungguhnya, perubahan adalah satu cabaran. Namun begitu, cabaran boleh dijadikan peluang jika cabaran itu ditangani dengan cara yang positif dan kita lengkapkan diri kita serta seluruh ahli keluarga kita, rakan sekerja serta kejiranan kita siap-siap dari sekarang dengan sebaik mungkin untuk bersedia dalam aspek didikan serta pengetahuan agama dan juga moral bagi menghadapi sebarang perubahan yang mendatang.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah kepada Ramlah Ismail 68 tahun di Kg. Teluk Kacang dekat Kangar baru-baru ini.
Sumbangan tersebut diterima oleh anaknya mewakili Ramlah yang sakit dan tinggal bersama keluarga. Beliau ialah salah seorang penerima ‘Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs’.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.