PolitikRencana

Layakkah Ismail Sabri jadi poster boy?

SAYA jarang buka Facebook Messenger, walaupun ramai yang menjadikan saluran rasmi untuk berkomunikasi, hinggakan ada bekas wakil rakyat tidak mempunyai WhatsApp, menggunakan sistem mesej Facebook untuk berkomunikasi sepenuhnya.

Kelemahan saya adalah sukar untuk menerima atau membuka ‘pintu’ komunikasi yang terlalu banyak kerana ia akan mengganggu kerja saya yang banyak memerlukan ketenangan untuk menulis.

Namun ketika menyemak mesej-mesej lama di dalam mesej Facebook saya terbaca hantaran rakan saya di Facebook iaitu Nabieh Rahmat.

Nabieh ialah bekas pelajar perubatan dan pemimpin pelajar di Jakarta. Kami bersahabat ketika saya bertugas sebagai wakil Utusan di Jakarta.

Nabieh sering mempunyai pandangan yang agak berbeza tentang kehidupan dan pelbagai isu, walaupun dalam banyak keadaan tidak sehaluan dengan saya.

Tetapi pandangan beliau mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menarik untuk dibaca dan dikongsi.

Jadi bagi memastikan lengguk penulisan dan bahasa kekal untuk dinikmati, saya tuangkan semuanya untuk tatapan pembaca.

1. Semalam (baru-baru ini) MKT UMNO menegaskan sokongan kepada YAB DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Ke-9 dan ia perlu terus dimantapkan. Susulan dari itu, mula ada cakap-cakap supaya beliau dijadikan sebagai poster boy kempen PRU 15.

2. Ismail Sabri tak segak dan tak petah berkata-kata, jika itulah ukuran ‘poster boy’ seorang pemimpin pada pandangan sebahagian orang. Beliau juga bukan bangsawan yang dengan mudah boleh tabur duit di sana sini. Beliau juga tak popular seperti ‘wong ndeso’ di negeri jiran.

3. Beliau hanyalah seorang anak petani yang berubah nasibnya melalui pendidikan, dapat bekerja sebagai peguam dan kemudian menceburkan diri sebagai wakil rakyat. Beliau juga menjadi Perdana Menteri disebabkan oleh ‘takdir’ setelah pergolakan yang terjadi.

4. Namun, bila melihat secara adil, sebenarnya banyak juga kesamaan beliau dengan pemimpin popular di negeri jiran. Mereka berdua bukan ketua parti politik. Mereka berdua dari kalangan orang biasa. Dan yang lebih penting, mereka berdua tiada skandal peribadi yang membelit diri.

5. Maka keputusan-keputusan penting telah dapat dibuat tanpa beban yang berat. Kerjasama dengan pembangkang menunjukkan agenda negara dan rakyat diutamakan. Padahal kalau ditanya sebahagian penyokong parti, mereka memang tak sabar-sabar sebab merasa diri sudah kuat.

6. Memang Ismail Sabri agak sukar untuk menonjolkan dirinya kerana dibayangi oleh tiga orang bekas Perdana Menteri yang secara aktif mengkritik, menyokong atau melontarkan idea populis untuk menekannya. Ia berbeza dengan negara jiran kerana bekas-bekas Presiden sedar diri bahawa ‘masa mereka telah berlalu.’

7. Tetapi sebenarnya Ismail Sabri telah pun mula menunjukkan cara kepimpinannya tersendiri. Beliau enggan tunduk kepada desakan yang sukar dipenuhi. Ismail Sabri juga enggan campur tangan untuk menyelamatkan pihak tertentu sebaliknya mempercayai kedaulatan undang-undang.

8. Jika Ismail Sabri semakin berani mempercepatkan pembaharuan institusi, maka kawan dan lawan pada akhirnya akan terpaksa mengakui keunggulannya. Rakyat pula akan dapat manfaat yang lebih besar bila sistem negara berjalan dengan baik tanpa mengira ideologi politik. Yang benar, dikatakan benar. Yang disalah, dihukum dan diubah.

9. Kita tidak tahu berapa lama ‘hayat politik’ Ismail Sabri. Kalau pun sebentar, biarlah legasinya dikenang sepanjang masa. Namun sebagai pemimpin, beliau tentu sedar bahawa ‘stakeholders’ sebenar adalah para pengundi dan rakyat jelata. Maka, bola kini berada ditangannya. Modal utama beliau sebagai ‘poster boy’ adalah ‘bebas dari skandal.’ Dan inilah perkara yang penting supaya 🇲🇾 dapat keluar daripada krisis integriti yang melanda sejak tahun 2015.

(Visited 417 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button