Raja, Raja Perempuan Perlis berkenan berangkat tunai solat sunat Aidilfitri
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal 1443 Hijrah di Dataran Istiadat, Istana Arau, Perlis bersama-sama rakyat bermula pada jam 8 pagi jika keadaan cuaca yang mengizinkan.
Dijadualkan berangkat sama mengiringi baginda berdua ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta anakanda-anakanda iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Walaubagaimanapun, jika terdapat halangan cuaca, maka solat akan didirikan di dalam ruang solat utama Masjid Negeri Arau.
Dalam pada itu, masyarakat yang menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di seluruh Negeri Perlis digalakkan untuk membawa payung untuk sebarang kemungkinan selain membawa sejadah sendiri untuk keselesaan.
Sementara itu, dalam acara berasingan pada jam 7 petang ini, ahad 1 Mei 2022, Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Ukur Dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) akan mengadakan ‘Cerapan Rukyah Hilal Syawal 1443 Hijrah / 2022 Masehi di Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis yang akan disaksikan oleh Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda. Sesi akan dimulakan dengan Taklimat Mengenai Data Rukyah Hilal Syawal disampaikan oleh Pengarah JUPEM Negeri Perlis disusuli dengan Rukyah Hilal Syawal di mulakan pada jam 7.20 malam. Matahari Terbenam, Waktu Maghrib, Hilal Syawal Terbenam adalah pada jam 7.28. Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah seterusnya akan menyaksikan majlis Menandatangani Pengesahan Rukyah Hilal Syawal 1443H/2022M Negeri Perlis di lokasi yang sama.
Gambar Fail