Nasional

Pengguna lega harga ayam, daging tidak naik

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 1 Mei – Pengguna menarik nafas lega kerana tiada kenaikan harga ayam atau daging luar biasa berlaku
di Pasar Besar Melaka, Bachang dekat sini hari ini ketika umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan mendapati pengguna berpuashati dengan langkah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa
(SHMMP) apabila peniaga mematuhi menjual ayam dan daging lembu pada harga yang telah ditetapkan.

Harga ayam kekal pada harga RM8.90 bagi sekilogram tidak termasuk upah memotong sebanyak 60 sen.

Manakala bagi harga daging lembu pula tidak berlaku kenaikan tinggi dengan daging batang pinang dijual
pada harga RM45 sekilogram, daging paha pejal (RM39), daging paha berlemak (RM38), tulang selangka (RM36),
hati, limpa dan paru (RM35) dan ekor (RM40).


Sementara itu, kelihatan beberapa anggota penguatkuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) negeri yang dilihat meronda seluruh kawasan pasar memantau jika ada
peniaga engkar menaikkan harga barangan keperluan.

Abdullah Haron

Seorang usahawan, Abdullah Haron, 53, dari Tanjong Kling berkata, dia melahirkan rasa syukur tiada berlaku
kenaikan harga ke atas ayam dan daging yang boleh menjejaskan persiapan Aidilfitri.

“Alhamdulillah apabila lihat harga ayam dijual pada harga munasabah begitu juga harga daging lembu tidak
mengalami kenaikan luar biasa.

“Dua barangan itu adalah menjadi juadah pada Aidilfitri dan kalau harganya menaik mendadak macam mana kami
nak membeli,” katanya yang membeli daging sebanyak 30 kilogram (kg) untuk membuat khenduri pada hari raya
pertama.

Ziana Ali

Bagi seorang suri rumah, Ziana Ali, 50, berkata, dia sangat lega apabila berkunjung ke pasar membeli
barangan keperluan mendapati harga ayam masih kekal pada harga lama begitu juga daging lembu.

“Harga yang dijual mampu saya beli maklum nak sambut Aidilfitri paling bermakna tahun ini kerana dua tahun
tiada sambutan meriah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.

Muhamad Amiruddin Abd. Halim,

Bagi seorang ahli perniagaan, Muhamad Amiruddin Abd. Halim, 37, berkata, harga kedua-dua barang itu
terkawal dan lega seluruh peniaga di pasar berkenaan mematuhi arahan daripada kerajaan.

“Dapatlah saya membeli lebih ayam dan daging lembu kalau harga terlalu mahal saya akan fikir banyak kali
nak berbelanja lebih ataupun tidak,” ujarnya.

 

(Visited 66 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button