Negeri

Raja Puan Muda Perlis titah wanita supaya tidak ketinggalan daripada kemajuan teknologi digital

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan harapan agar golongan wanita pada era kini akan terus berupaya bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan digital yang memacu kepada pembentukan generasi masa hadapan yang cemerlang.

Demikian titah Baginda selepas berkenan berangkat merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negeri Perlis di Hotel Putra Regency, Persiaran Jubli Emas, Kangar.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Puan Muda disambut oleh Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negeri Perlis, Tengku Datuk Shireen Tengku Suleiman.

Pengerusi WI Negeri Perlis itu dalam ucapannya menyatakan bahawa WI Negeri Perlis bercadang untuk melaksanakan beberapa aktiviti untuk tahun ini dan berharap agar ahli-ahlinya akan memberikan kerjasama penuh dan menyertai program-program yang akan dilaksanakan.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas sokongan dan kerjasama WI Perlis dalam menjayakan program-program anjuran WI Malaysia dan mengucapkan syabas kepada semua yang telah berusaha untuk menjayakan mesyuarat agung tahunan WI Perlis yang ke 69 ini.

Di majlis tersebut juga Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian dan mengurniakan lencana ahli seumur hidup kepada Merduwati Mohamud dan Huzaini Abdul Hamid. Turut disampaikan ialah pengurniaan ahli cawangan WI teramai kepada cawangan Banggol Sena dan Cawangan Kangar.

WI Negeri Perlis akan terus memainkan peranan dan proaktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti serta program yang melibatkan golongan wanita di negeri ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button