BeritaNasional

Raja Puan Muda Perlis sertai larian Ultron Kangar

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mengambil bahagian di dalam larian ‘Ultron Kangar New Year Run 2020’ yang berlangsung di Mata Ayer, Perlis pada pagi tadi.

Larian bertemakan ‘Change The Game’ sempena tahun baru tersebut diadakan serentak di sepuluh buah lokasi di seluruh negara. Negeri Perlis menjadi salah satu pilihan penganjuran kerana butik Ultron Perlis adalah yang pertama dibuka oleh syarikat itu di luar Kuala Lumpur.

Seramai 1,100 peserta dari Perlis dan juga Kedah dan Pulau Pinang mengambil bahagian dalam program yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai acara terbesar dan teramai melibatkan seluruh negara.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Siti Berenee Yahaya melepaskan para peserta dalam program yang dianjurkan melalui kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri Mata Ayer, Ultron Kangar, Northern Sport Tourism Club dan MEP ini.

Sambutan penduduk setempat sekitar Mata Ayer memeriahkan lagi program.

Acara larian lain yang berkonsepkan ‘Sukan Pelancongan’ yang bakal dianjurkan di Perlis sepanjang tahun ini ialah ‘Perlis Marathon Edisi ke 6’ pada 4 April 2020,
‘Perlis Ultra Marathon (PUTRA) 2020’ bertemakan ‘Fullmoon’ pada 20 November 2020 di Sungai Batu Pahat dan lain-lain lagi.

Perlis antara negeri yang aktif mempromosikan pelancongan melalui sukan larian khususnya mengambil sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan juga Tahun Melawat Perlis 2021.

Pada 21 dan 22 Disember 2019 yang lalu juga telah diadakan Perlis Ultra Marathon 2019 (PUTRA) di Taman Rekreasi Sungai Batu Pahat yang mendapat kehadiran seramai 1200 peserta dalam dan juga luar negara termasuk Singapura, Jerman, Thailand, Indonesia dan Brunei Darussalam yang melibatkan jarak 75km merentasi kawasan hutan simpan, Empangan Timah Tasoh, Gua Kelam, puncak Wang Kelian dan juga dusun-dusun di Bukit Ayer.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button