BeritaNasional

Pertahan nilai budi pekerti bangsa – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru kepada semua rakyat agar bersama mempertahankan ketinggian nilai budi pekerti bangsa.

Ketinggian budi pekerti merupakan benteng jati diri rakyat negara dan negeri ini daripada sebarang kerapuhan identiti yang menjunjung budaya negatif dari luar.

“Terdapat banyak nilai-nilai positif bangsa kita seperti menjaga maruah diri, bersopan-santun, berhemah-tinggi dan berbudi-bahasa perlu dipertahankan agar budaya luar yang tidak sesuai dengan budaya dan agama dapat dijauhi” titah baginda lagi.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menggesa agar adat yang baik harus dipertahankan apatah lagi, adat merupakan ‘pagar’ kepada agama.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Pertama bagi tahun 2020’ yang diadakan di Masjid Al-Abrar Kubang Gajah, Arau petang tadi.

Turut mengiringi baginda ialah anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan.

Turut hadir ialah Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Seramai 20 asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah masjid berkenaan menerima sumbangan masing-masing daripada pihak MAIPs.

Terdahulu, turut diadakan ialah ceramah ‘Ke Arah Sifar Dadah’ yang disampaikan oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan pameran promosi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan pasukan sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah.

(Visited 400 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button