Raja Perlis titah penjawat awam fokus agenda kesejahteraan rakyat
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar seluruh penjawat awam sentiasa memberikan fokus ke arah merealisasikan agenda kesejahteraan hidup rakyat dalam setiap urus tadbir mereka.
Titah baginda lagi, sikap proaktif dan produktif dalam setiap pekerjaan yang dilaksanakan akan mempercepatkan pembangunan negeri dan negara sekaligus mempertingkatkan tahap kesejahteraan rakyat.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis ‘Malam Ekspresi Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) 2020’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang diadakan di Istana Perlis Kuala Lumpur.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.
Selain memberikan fokus dalam soal kesejahteraan rakyat, Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan agar agenda pendidikan hendaklah sentiasa diberi keutamaan sebagai penyediaan generasi masa hadapan yang cemerlang.
“Beta amat mengambil berat tentang soal pendidikan kerana dengan pendidikan dapat menentukan generasi masa hadapan. Antara yang perlu kita lakukan adalah dengan menyediakan warga pendidik yang terbaik dan berwibawa”, titah Tuanku Raja lagi.
MEKAR 2020 turut menampilkan panel pembentangan bertajuk ‘Melakar Kegemilangan : Pengalaman MAIPs’ disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan ‘Mengemudi Bahtera Perubahan Minda’ oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Antara yang hadir adalah para Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Kerajaan Persekutuan yang berasal dari negeri Perlis seperti Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Suriani Datuk Ahmad.
Selain itu turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Zamri Mat Zain, Pengarah Bahagian Pembangunan Wilayah, Unit Perancang Ekonomi, Datuk Ahmad Zamri Khairuddin dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman.
Beberapa tokoh lain turut serta. Antaranya adalah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Md Silmi Abd Rahman dan Rakan Kongsi Pengurusan Malaysia, Ernst & Young, Datuk Abdul Rauf Rashid yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan MAIPs.