Berita

Raja Perlis lancar buku Grit & Gumption – The Yusuf Brothers of Penang

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat melancarkan buku ‘Grit & Gumption – The Yusuf Brothers of Penang’ di The Grand Ballroom Hotel Shangri La Kuala Lumpur pada malam semalam.

Keberangkatan tiba baginda dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid disambut oleh Tan Sri Dato’ Seri Haji M. Ariffin Yusuf dan abangnya Datuk Zain Yusuf serta ahli-ahli keluarga beliau.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Raja menitahkan ucapan tahniah dan ucapan ‘Selamat Maju Jaya’ di atas kejayaan menerbitkan buku autobiografi mengenai pengalaman, cabaran dan kejayaan hidup M. Ariffin dan ahli keluarga A.G Yusuf.


Tuanku Syed Sirajuddin yang sudah mengenali kesemua keempat-empat adik beradik Yusuf Brothers sejak sekian lamanya itu dapati bahawa buku ini sangat menarik untuk dibaca dan menjadikan segala pengalaman dan cabaran yang dilalui oleh Yusuf Brothers ini sebagai inspirasi dan teladan yang baik.

Menurut baginda , ‘Secara sepintas lalu buku yang mengisahkan riwayat hidup keluarga A.G Yusuf ini sangat menarik. Ianya mengandungi penceritaan setiap seorang ahli keluarga sejak kecil sehingga dewasa secara individu, hubungan kekeluargaan, cabaran semasa alam kerjaya, perniagaan, penglibatan aktiviti sosial dan kebajikan masing-masing. Kesemua keluarga Yusuf ini telah berusaha dengan gigihnya untuk mencapai kejayaan di dalam bidang yang diceburi masing-masing’.

Baginda turut berseloroh tentang Tan Sri Dato’ Seri Ariffin ini yang baginda agak rapat sedikit berbanding adik beradiknya yang lain walaupun dua orang abangnya baginda kenali sejak zaman persekolahan di Sekolah Menengah Penang Free lagi kerana beliau berkahwin dengan Puan Sri Datin Seri Abedah Seman, orang Perlis iaitu seorang rakyat negeri baginda.

(Visited 272 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button