NasionalNegeri

Raja Muda rasmi Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Siri Ke-10 – ‘Titian Kasih’

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Siri Ke-10 – ‘Titian Kasih’ yang dijayakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, petang ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Penasihat DiRaja YTF dan Pengerusi YTSP bertitah, menerusi program Titian Kasih ini sebenarnya dapat mendekatkan Baginda dengan para pelajar termasuk memberikan nasihat serta harapan.

Dalam titah, Baginda ingin melihat para pelajar bukan sahaja dapat menguasai ilmu daripada guru-guru di sekolah malah perlu tahu pentingnya fokus terhadap pelajaran yang disampaikan di sekolah.

Titah Baginda, dalam masa yang sama para pelajar perlu peka dengan ilmu yang dikongsikan dalam program ini.

“Ilmu yang dikongsikan dalam ‘Titian Kasih’ ini menekankan kepentingan mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan di mana ia sangat penting bagi melahirkan masyarakat yang responsif terhadap persekitaran dan kesejahteraan hidup,” titah Baginda.

Sesungguhnya titah Baginda, kejayaan masa hadapan adalah bergantung kepada mutu modal insan bukan sahaja dari segi intelek tetapi juga keperibadian termasuk nilai sahsiah diri.

Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, supaya para pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengisian program Titian Kasih oleh para ahli panel.

Titah Baginda, ini memandangkan ilmu-ilmu asas ini tidak dipelajari sepenuh di dalam kelas dan ia perlu diterapkan dalam pemikiran masing-masing.

Tambah Raja Muda, program Titian Kasih ini merangkumi ilmu pelajaran asas yang perlu diketahui dalam mengharungi liku kehidupan.

“Bersandarkan ilmu yang diperoleh di peringkat sekolah dan yang disampaikan melalui program ini diharapkan para pelajar sekalian mengambil peluang yang ada untuk meningkatkan kualiti ilmu dan sentiasa berfikiran terbuka dan berlapang dada dalam kehidupan nanti,” titah Baginda.

Program ini bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis, Naharudeen Othman.

Antara topik-topik yang dikongsikan oleh para penceramah undangan bagi sesi awal program adalah  ‘Sukan Membina Kehidupan Cemerlang’ oleh Mustaffa Ibrahim yang merupakan bekas Atlet Negeri Perlis dan juga Mantan Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis.

Selain itu ceramah bertajuk ‘Bencana Alam dan Pengurusan Risiko’ oleh Zaharin Haris, Setiausaha Sulit kepada Tuanku Raja Muda Perlis dan ‘Bahaya Najis Dadah’ oleh Saniah Ahmad, Pegawai Unit Pencegahan dan Publisiti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Perlis Selatan.

Juga ceramah ‘Pencegahan Jenayah’ oleh Deputi Superitendan, Chia Sia Chek, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis; ‘Kesihatan Sepanjang Hayat’ oleh Tengku Mohd Yusoff Tengku Ahmad, Mantan Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan ‘Sahsiah Cemerlang Pelajar Terbilang’ oleh Mohd Nazim Mohd Noor Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta beberapa lagi penceramah lain.

Program secara dalam talian LIVE di YouTube SSTP JPN PERLIS di pautan dan http://tiny.cc/WebinarYTFSiri10 itu bermula pukul 2 hingga 6 petang.

Majlis peramian penutupan disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di akhir program. – SM

(Visited 449 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button