Negeri

Raja Muda Perlis titah rakyat kurangkan pengambilan garam

Sempena dengan sambutan ‘Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2021’, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak semua rakyat supaya dapat bertindak dan membuat perubahan yang mudah untuk menurunkan pengambilan garam berlebihan dalam kehidupan kita seharian.

Tindakan ini amatlah penting sebagai satu usaha dalam mencegah dan mengawal penyakit darah tinggi dan komplikasinya serta dapat mengurangkan kematian pra matang dalam kalangan rakyat di Malaysia dan khususnya di negeri Perlis yang dicintai ini.

Demikian titah Tuanku Raja Muda setelah berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 25 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Masjid Al-Ikram Kg Sena, Arau di masjid berkenaan.

Dalam program ‘MAIPs Peduli Kali Ke 12 bagi tahun 2021’ itu, selain menyantuni tiga buah rumah asnaf, baginda yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor turut berkenan singgah di salah satu ‘Projek Usahawan MADA’ iaitu Maria Cookies Aneka Biskut (No Telefon 0194205017) dan juga Loji Rawatan Air Syarikat Air Perlis dekat situ.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim pula menerangkan bahawa ​pengambilan garam yang berlebihan dapat meningkatkan risiko penyakit darah tinggi dan sekiranya tidak terkawal, ia boleh meningkatkan risiko kepada strok dan penyakit jantung.

Tambah beliau, berdasarkan ‘Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2019)’, didapati bahawa 1 daripada 3 (30.0%) penduduk Malaysia menghidap penyakit darah tinggi. Data ini adalah setara dengan bebanan darah tinggi dalam kalangan penduduk di negeri Perlis iaitu sebanyak 29.9%.

Untuk rekod, ‘Minggu Kesedaran Garam Sedunia’ disambut setiap tahun secara global pada bulan Mac. Pada tahun ini, pertubuhan World Action on Salt, Sugar and Health (WASSH) menetapkan bahawa minggu kesedaran garam tersebut disambut pada 8-14 Mac 2021 dengan bertemakan “Tambah Perisa Asli, Sedikit Garam Mencukupi” (More Flavour, Less Salt).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button