Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru masyarakat Islam amnya, agar memastikan amalan yang mereka lakukan bertepatan dengan sunnah Nabi SAW dengan merujuk kepada pihak yang mempunyai ilmu yang jelas. Hal ini kerana melakukan sesuatu ibadah bertepatan dengan sunnah Nabi SAW menjamin keberuntungan kita di dunia dan juga di akhirat.
Demikian menurut baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam titah perutusan buku bertajuk ‘Durar Saniyyah Mutiara Rumah Tangga’ yang akan dicetak tidak lama lagi ditulis dan dihasilkan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Dr. Kamilin Jamilin.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda mengucapkan tahniah kepada Jabatan Mufti Negeri Perlis di atas usaha menerbitkan buku berkenaan.
Buku tersebut pada hemat baginda merupakan satu sumbangan besar kepada seluruh masyarakat, terutama kepada pasangan yang mencari rujukan berkenaan inisiatif-inisiatif ke arah pembangunan institusi kekeluargaan.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Sesungguhnya, usaha menerbitkan buku ini adalah merupakan satu langkah yang sangat baik dan dapat memberi pedoman serta panduan kepada masyarakat khususnya suami isteri dalam melayari kehidupan berumah tangga. Ianya bukan sekadar memberi fokus kepada himpunan hadis yang berkaitan hukum-hakam rumah tangga sahaja tetapi lebih menjurus ke arah hadis pilihan yang memberi panduan, berpandukan contoh kisah Nabi SAW dalam melayari bahtera rumah tangga baginda’.