Nasional

Raja Muda Perlis titah masyarakat kekal patuhi SOP semasa sambutan Aidilfitri

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitah nasihatkan rakyat negeri Perlis untuk bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri 2021 yang bakal menjelma beberapa hari sahaja lagi dengan norma baharu dan pematuhan SOP.

 

‘Jika anda dan keluarga sedang menjalani kuarantin di rumah, beritahulah dari awal lagi kepada sanak-saudara, jiran tetangga dan sahabat-handai agar jangan datang menziarah. Manakala bagi semua yang beraya di Perlis tanpa kehadiran individu dari ‘Zon Merah’, kawallah jumlah sanak-saudara yang datang berziarah pada satu-satu masa dan elakkan bersalam-salaman.
Ini adalah kerana jika perlu dilaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan di negeri tercinta ini, tentu ramai rakyat Perlis yang akan terkesan terutamanya golongan yang kurang mampu’.

Demikian titah baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAiPs) selepas berkenan berangkat menyempurnakan majlis ‘Agihan Bantuan Muallaf MAIPs Bagi Tahun 2021’ berjumlah RM82,000 yang diadakan di Masjid Al-A’la Behor Temak, Kangar pada petang semalam.


Keberangkatan baginda ke aktiviti yang disekalikan dengan Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke 17 Bagi Tahun 2021 bagi menyampaikan bantuan agihan zakat kepada 30 orang dari kalangan asnaf muallaf negeri Perlis tersebut disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Imam Besar Negeri Hj. Ahmad Sirajuddin Abdul Sattar.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, sebagai langkah kawalan dan pencegahan yang optima di negeri Perlis ini, jika ada terdapat individu yang pulang dari ‘Zon Merah’, mereka yang ke ‘Zon Merah’ atau menerima tetamu dari ‘Zon Merah’ yang pastinya dengan izin, disarankan melakukan perkara-perkara berikut dalam tempoh 14 hari sejurus pulang atau menerima tetamu tersebut agar penularan COVID-19 dapat dikekang iaitu:

1. Jujurkan diri anda untuk mendisiplinkan diri agar tidak melakukan apa-apa pergerakan yang tidak penting di tempat awam di dalam negeri ini.

2. Tidak mengadakan atau hadir ke mana-mana majlis sosial keluarga atau kenalan samada di rumah atau di restoran dan kedai makan.

3. Perlu melaksanakan pematuhan SOP tanpa gagal di tempat awam, tempat ibadat atau tempat kerja; dan

4. Jika bergejala, segeralah ke fasiliti kesihatan terdekat untuk pemeriksaan dan menjalani ujian saringan COVID-19.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button