Hiburan

Aliff Iskandar positif Covid-19, tak tahu berjangkit daripada siapa

PENYANYI, Aliff Iskandar disahkan positif Covid-19 dan kini sedang mendapatkan rawatan di pusat kuarantin MAEPS, Serdang.

Menurut penyanyi lagu Perit itu, dia mula merasa demam pada 28 April lalu dan terus melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum disahkan positif keesokan harinya.

“Memang saya alami demam panas, sesak nafas, batuk dan sakit kepala pada waktu itu. Saya pengsan tiga kali di rumah. Tapi saya tak tunggu lama dan terus melalukan ujian calitan memandangkan keadaan tersebut tidak pernah dialami sebelum ini.

“Bila dapat sahaja keputusan, klinik tersebut terus memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan saya dijemput ambulans malam itu juga untuk dikuarantin di MAEPS Sedang,” katanya.

Aliff turut memberitahu rakan serumahnya juga sudah melakukan ujian calitan dan mereka didapati positif seminggu kemudian. Manakala pihak pengurusan tempatnya belajar juga sudah melakukan beberapa saringan untuk mengenal pasti kontak rapat.

Dalam pada itu, Aliff menyatakan yang dirinya sudah semakin sihat daripada wabak berkenaan. Gejala demam dan batuk yang dialaminya juga sudah pulih dan dia hanya menunggu masa untuk keluar daripada tempat tersebut.

“Memang keadaan saya agak lemah pada peringkat awal. Tapi beberapa hari kemudian semuanya semakin baik dan saya dapat rasakan perubahan itu. Saya beruntung kerana tidak mengalami komplikasi yang serius seperti segelintir orang.

“Di sini saya diberikan layanan baik dan kami sama-sama membuat pelbagai aktiviti seperti mana yang disarankan oleh petugas kesihatan. Jangan takut, semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya.

Menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran untuknya berhati-hati pada masa hadapan, Aliff memohon maaf kepada semua kenalan dan kontak rapatnya yang terpaksa melakukan kuarantin kendiri setelah dirinya disahkan positif.

“Saya minta maaf kerana menyusahkan rakan-rakan yang lain. Tidak ada siapa mahu menerima dugaan sebegini tapi saya reda. Ramai yang menitipkan doa dan kata-kata semangat terutamanya keluarga dan sahabat yang sudah mengetahui perkara ini.

“Untuk mereka yang berada di luar sana, jaga diri, jaga jarak dan ikut SOP yang ditetapkan. Kalau kita jaga diri, insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya yang baru sahaja melancarkan lagu Sedar Ku bersama Syahmi Irfan, Syafiq Naser dan Killa Driz sempena Ramadan.

Untuk rekod, Aliff merupakan artis naungan  Indigital Music yang popular dengan lagu Perit. Lagu tersebut juga menjadi runut bunyi lima buah drama popular tanah air. -SM

(Visited 283 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button