Nasional

Raja Muda Perlis titah masyarakat jauhi dari aktiviti pengeludupan

Rakyat negeri Perlis dinasihatkan supaya menjauhkan diri sama sekali daripada terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan manusia dan juga barangan terlarang khususnya di sempadan negara.

Kedudukan geografi negeri Perlis yang bersempadan dengan negara Thailand membuatkan masyarakat setempat terdedah dengan penglibatan aktiviti penyeludupan baik manusia maupun barangan terlarang. Statistik pihak berkuasa menunjukkan jumlah tangkapan dan rampasan yang agak membimbangkan pada setiap tahun khasnya yang melibatkan tangkapan pendatang tanpa izin termasuk “tekong dan pelindung” serta rampasan najis dadah termasuk juga daun ketum.

Merujuk rekod pihak berkuasa, pengajaran dari individu-individu yang telah disabit bersalah dan dipenjarakan sering mengakibatkan kesannya juga ditanggung oleh ahli keluarga tersayang dari segi punca pendapatan, pendidikan dan imej keluarga.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media yang disiarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Masjid Al Maghfirah Kg Pauh Sanglang yang diterima bagi pihak mereka oleh amil kariah berkenaan Semsuri bin Dar baru-baru ini.

Penyerahan RM700 bagi setiap penerima tersebut dengan jumlah penuh sebanyak RM21,000 diadakan di perkarangan kediaman Norliah Hassan, 72 tahun bersempena program MAIPs Peduli Bilangan ke 33 bagi tahun 2021 ini.

Norliah yang menghidap penyakit kencing manis dan jantung adalah penerima ‘Bantuan Fitrah MAIPs’. Beliau tinggal bersama seorang anak kelainan upaya dan menantu.

Turut mengiringi baginda ialah Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Md Rejab.

Tuanku Raja Muda selepas itu turut meluangkan masa untuk meninjau sendiri beberapa lorong tikus yang menghubungkan sempadan antara Perlis dan Kedah di pekan Kuala Sanglang, Perlis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew mamaklumkan bahawa ‘Pihak berkuasa sentiasa mendapatkan dan mengumpul maklumat risikan terhadap individu-individu dan sindiket yang terlibat. Pada bulan November 2020 selepas kejadian tembakan ke atas anggota penguatkuasa di sempadan negara di negeri Perlis, 18 individu yang dikenalpasti aktif terlibat dengan aktiviti penyeludupan di negeri ini telah ditangkap dan didakwa. Pihak berkuasa terus memantau pergerakan aktiviti individu-individu dikenalpasti dan tangkapan dibuat apabila mempunyai bukti mereka terlibat dengan aktiviti penyeludupan’.

Untuk rekod, Undang-undang memberi kuasa kepada Pegawai Kanan Polis berpangkat Superintendan ke atas menahan selama 28 hari untuk siasatan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. Jika didakwa dan disabit di mahkamah dengan kesalahan di bawah seksyen 26A Akta Antiperpemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 hukuman yang berat iaitu boleh dipenjara sehingga 15 tahun.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button