BeritaPendidikan

GLU Tawar Kursus Kolaborasi Antara 4 Universiti

Ketika sektor pengajian tinggi beralih ke norma baharu berikutan cabaran wabak COVID-19, empat buah universiti di bawah Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) tampil menawarkan tiga kursus baharu secara dalam talian dan bersifat simbiotik.

Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memperkenalkan kursus Massive Open Online Courses (MOOCs), Open Elective and GLU Minor untuk pelajar mereka mulai September 2021.

Pengerusi GLU, Prof. Ts. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, hubungan simbiotik dalam kursus-kursus berkenaan adalah yang pertama kali dalam sejarah pendidikan tinggi negara.

“Hubungan simbiotik ini boleh menjadi resipi yang dicontohi oleh universiti lain di Malaysia bagi memastikan kemampanan pendidikan tinggi dalam menghadapi cabaran semasa wabak COVID-19,” katanya yang juga Presiden UTP ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran MOOC secara dalam talian, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud, Presiden MMU President; Prof. Ir. Dr. Hilmi Mukhtar, Timbalan Naib Canselor, Akademik UTP; Prof. Dato’ Dr. Siti Salbiah Mohamed Shariff, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Penyelidikan) Uniten dan Prof. Dr. Shahrulniza Musa (Timbalan Presiden Akademik & Teknologi) UniKL.

Mengulas lanjut, Mohamed Ibrahim berkata, wabak COVID-19 tidak menjadi penghalang kepada universiti di bawah GLU untuk mempertingkatkan pendidikan berkualiti termasuk memperkenalkan pembelajaran dalam kaedah baharu seperti dalam talian dan jarak jauh.

Beliau berkata, melalui MOOCs, Open Elective and GLU Minor, para pelajar boleh berekplorasi dan mengembangkan ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang kebitaraan GLU seperti bidang gas dan minyak oleh UTP, tenaga (Uniten), penerbangan (UniKL), serta teknologi maklumat dan multimedia (MMU).

(Visited 327 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button