Raja Muda Perlis seru semua patuhi kuarantin kendiri
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru kepada semua rakyat supaya menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam pematuhan perintah kuarantin kendiri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Baginda menegaskan tanggungjawab tersebut bukan hanya melibatkan kakitangan Jabatan Kesihatan dan pesakit positif Covid-19 kategori 1 (tiada bergejala) dan kategori 2 ringan semata-mata, tetapi juga penduduk setempat.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menasihatkan agar penduduk setempat lebih menghormati dan memahami perasaan pesakit-pesakit yang diarahkan untuk kuarantin di rumah dengan tidak sama sekali menyebarkan gambar mahupun video mereka.
“Diminta rakyat jangan mudah panik kerana pesakit positif yang diarahkan untuk dikuarantin dan dirawat di rumah masing-masing ini adalah mereka yang tergolong dalam kategori 1 dan 2 ringan.
“Pemilihan dibuat dengan teliti di mana para pesakit adalah tergolong dari mereka yang berusia di bawah 60 tahun dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang kronik’, jelas baginda.
“Di samping mempunyai penjaga yang layak dan kediaman yang sesuai untuk tujuan isolasi, pesakit-pesakit ini juga akan dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 Klinik Kesihatan yang ditentukan bagi memastikan kesihatan mereka terpelihara serta tahap pematuhan terhadap arahan pencegahan jangkitan diamalkan,” tambah baginda.
Demikian titah Tuanku Raja Muda menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas baru-baru ini memperkenankan supaya ‘Program Keberangkatan DiRaja ke Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis’ yang pada asalnya dijadualkan pada sabtu, 30 Januari 2021 bermula dan berakhir di Dataran Semarak, Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis ditunda ke suatu tarikh yang bakal dimaklumkan kemudian ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri Perlis.
Pada kesempatan yang sama pihak pengurusan MAIPs amat berterima kasih di atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program transformasi fasa pertama kampung berkenaan.
Berbalik kepada arahan kuarantin dan rawatan di rumah, untuk rekod, ia adalah salah satu pendekatan baru yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berikutan peningkatan kes baharu harian yang kekal pada empat angka sejak sebulan yang lalu.
Selain usaha membendung penularan wabak tersebut, langkah itu diambil bagi mengurangkan beban kerja petugas barisan hadapan yang terus meningkat dan kian membimbangkan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah bahawa baginda dimaklumkan bahawa dalam menjayakan usaha kuarantin dan rawat di rumah, Pusat Penilaian Covid-19 atau Covid-19 Assessment Centre (CAC) telah ditubuhkan di seluruh negara termasuk 10 buah di Perlis yang dianggotai oleh pasukan klinik kesihatan.
Pesakit positif berusia 40-60 tahun dan pesakit yang mempunyai gejala ringan (kategori 2 ringan) perlu menjalani pemeriksaan fizikal di Pusat Penilaian Covid-19 sebelum menjalani kuarantin di rumah.