Nasional

Raja Muda Perlis seru semua anggota Askar Wataniah agar terus aktif

Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru semua pihak tidak kira anggota tetap ataupun sukarela agar berganding bahu dan menetapkan iltizam bagi mengaktivasikan kembali anggota sukarela yang tidak lagi aktif dalam usaha meningkatkan kadar keaktifan anggota sukarela dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) Tentera Darat Malaysia (TDM).

‘Hadirlah ke setiap latihan yang telah dirancang oleh Rejimen. Cabarlah diri dengan menghadiri kursus yang ditawarkan bagi meningkatkan ilmu dan pengalaman. Sesungguhnya setiap anggota Rejimen Askar Wataniah amat beruntung dapat menyelami dan memahami gaya hidup ketenteraan yang tidak dapat dirasai orang awam di luar sana’.

Demikian titah baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah apabila mengucapkan ‘Selamat Hari Ulangtahun Tentera Darat Malaysia ke 88’ yang disambut setiap tahun pada 1 haribulan Mac.

Ucapan khas ditujukan baginda kepada Panglima, Timbalan Panglima serta seluruh kepimpinan dan juga warga TDM samada yang masih bertugas ataupun sudah tidak lagi berkhidmat di mana sahaja mereka berada baik di dalam mahupun luar negara dengan iringan doa semoga sentiasa sihat, selamat dan dipelihara oleh Allah swt diri mereka, ahli keluarga serta harta benda sepanjang masa.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengucapkan tahniah kerana hasil daripada pelbagai aktiviti promosi yang dilaksanakan serta kolaborasi dengan pelbagai agensi di negeri Perlis khususnya sepanjang tahun lalu, pada awal tahun 2021 ini sahaja, Pasukan Sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah ya g berpengkalan di Kem Bukit Keteri Perlis telah menerima seramai 59 sukarela dan sukarelawati baru yang mana hampir 80% daripadanya adalah anak watan negeri inj.

‘Penghargaan kepada anggota yang baru dan tidak lupa juga kepada anggota sukarela yang lama. Teruskanlah menghadiri latihan, libatkanlah diri di dalam setiap aktiviti serta jadilah agen untuk memperkenalkan lagi Rejimen Askar Wataniah kepada masyarakat di sekeliling’, tambah baginda.

Bagi sambutan kali ini, pihak Rejimen 504 Askar Wataniah akan menganjurkan ‘R504AW 2.0 Virtual Run’ sejauh 50.4km. Pendaftaran ialah dari 17 Februari hingga 7 Mac 2021, manakala larian pula ialah antara 10 Mac hingga 10 April 2021. Bagi yang berminat untuk menyertainya bolehlah mendapat maklumat lanjut dan pendaftaran di r504aw/onpay.my/order/form/504awvr2.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button