NasionalNegeri

Raja Muda Perlis rasmi Seminar Advance Acute Internal Medicine di Sandakan

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Seminar Advance Acute Internal Medicine (AAIM) yang diadakan di Sandakan, Sabah baru-baru ini.

Seminar berkenaan dilaksanakan di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan pada 25 Mac lalu dan acara simbolik perasmian disempurnakan oleh Raja Muda Perlis merangkap Penaung Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju Akut dan Ultrasound Malaysia (MAAIMUSS) sebaik ketibaan Baginda di Bilik Orang Kenamaan Lapangan Terbang Sandakan pada petang yang sama.

Program AAIM Sandakan tersebut merupakan inisiatif dan kerjasama antara Presiden MAAIMUSS, Datuk Seri Prof. Dr. Paras Doshi yang juga Pengerusi Parallel Pathway Internal Medicine Malaysia; Pengarah Kesihatan Negeri Perlis Dr. Ismuni Bohari; serta Pengarah HDOK Dr. Mohd Fahmie Datuk Dr Othman.

Seminar ini menjurus kepada perkongsian kemahiran dalam penjagaan pesakit di antara dua negeri iaitu Perlis dan Sabah yang melibatkan 200 peserta secara fizikal dan juga online.

Peserta terdiri daripada para Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Pegawai Farmasi dan juga Jururawat dari HDOK Sandakan, Kinabatangan dan Beluran, Sabah.

Menurut Dr. Paras, Perlis sejak beberapa tahun lalu telah melaksanakan perkhidmatan baharu dalam perubatan berkenaan iaitu perubatan dalaman maju akut.

Katanya, dalam seminar selama separuh hari tersebut, ianya bertujuan memberi pendedahan akan kepentingan perubatan dalaman akut termasuk peranan serta fungsi dalam proses rawatan dan pengurusan para pesakit.

Perkara ini telah terbukti apabila berjaya dilaksanakan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, di mana telah berjaya mengurangkan kemasukan pesakit di wad serta menaiktaraf tahap kualiti rawatan kepada pesakit, termasuklah membuat beberapa jenis penjimatan yang mengoptimakan sumber tenaga doktor dan juga peralatan.

Tambah Dr. Paras lagi, antara tujuan lain adalah bagi memberi pendedahan kepada para pegawai perubatan berhubung peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang perubatan am atau perubatan dalaman agar pegawai perubatan berkenaan boleh menjadi pakar atau mempunyai sub kepakaran dalam bidang-bidang tersebut.

Perkhidmatan dalam bidang sebegini memerlukan banyak pakar terutama dalam bidang perubatan dalam maju akut, supaya dapat mengimbas pesakit secara cepat, tepat serta dapat menaikkan taraf kualiti penjagaan pesakit itu sendiri.

Pada majlis perasmian itu, Raja Muda Perlis diiringi oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Diyanah Abdullah; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Henry Idol dan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sandakan, Assisten Komisioner, Abdul Fuad Abdul Malek. – SM

(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button