Acara

Raja Muda Perlis lancar buku Dakwah Bil Hal

ARAU 15 April – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan pelancaran buku “Dakwah Bil Hal: 111 MAIPs Peduli Tahun 2024” terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam satu majlis yang berlangsung di Laman Warisan Arau, kelmarin.

Buku ini diterbitkan mengambil sempena Sambutan 25 Tahun Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis.

Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor bersama barisan pengurusan tertinggi MAIPs dan Ketua-ketua Jabatan serta agensi Negeri dan juga Persekutuan.

Demikian menurut kenyataan MAIPs.

Buku ini memaparkan kejayaan pelaksanaan 111 siri Kayuhan MAIPs Peduli sepanjang tahun 2024 yang menjadikan jumlah keseluruhan kayuhan sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2013 mencecah sebanyak 978 kali. Program ini telah memberikan impak kepada seramai 51,028 penerima manfaat, melibatkan agihan zakat sebanyak RM33,195,600 khusus untuk inisiatif ini sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs berkata, kayuhan MAIPs Peduli merupakan program kebajikan berasaskan aktiviti berbasikal yang diperkenalkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs, sebagai pendekatan mendekati masyarakat dan menyampaikan bantuan secara langsung kepada golongan asnaf di seluruh Perlis.

“Pendekatan turun padang ini selaras dengan Pelan Strategik MAIPs 2021–2025 dan mencerminkan komitmen tinggi MAIPs dalam memperkukuh sistem pengurusan zakat dan kebajikan yang berkesan serta berimpak,” jelas Mohd Nazim.

Program ini turut menjadi antara pencapaian utama hasil pelaksanaan Transformasi Pengurusan MAIPs yang dimulakan sejak 2011 dengan kerjasama pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), bertujuan menjadikan MAIPs lebih mesra rakyat, profesional dan inklusif. Pendekatan “jejak asnaf” melalui kayuhan ini membolehkan keperluan masyarakat dikenal pasti secara terus dan tindakan segera dapat diambil.

Majlis pelancaran ini turut memperkukuh peranan Institusi Diraja sebagai payung kesejahteraan rakyat.
Keberkesanan pendekatan kepimpinan Islam dalam program ini turut menjadi sorotan dalam kajian ilmiah oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, menerusi kajian bertajuk “The Importance of Islamic Regal Leadership in Zakat Delivery to the Asnaf in Perlis” yang menegaskan bahawa kepimpinan diraja memainkan peranan penting dalam memastikan agihan zakat bukan sahaja sampai kepada yang berhak, tetapi juga memberi nilai tambah kepada kehidupan mereka.

Kayuhan MAIPs Peduli kini menjadi simbol kepimpinan berjiwa rakyat dan bukti bahawa pendekatan dakwah bil hal mampu membentuk masyarakat yang lebih peduli, sejahtera dan bersatu.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button