Raja Muda Perlis kurnia ‘Ihtiram Relawan MAIPs’ kepada PVAC
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan mengurniakan ‘Ihtiram Relawan MAIPs’ kepada Persatuan Komuniti Sukarelawan Kebajikan Negeri Perlis (PVAC) yang aktif menjalankan aktiviti kesukarelaan di seluruh negeri Perlis.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan mengurniakan anugerah berkenaan bagi mengiktiraf segala jasa dan pengorbanan para sukarelawan PVAC yang mempamerkan kesungguhan mereka melaksanakan pelbagai misi bantuan sepanjang tempoh Pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu ekoran penularan pandemik Covid-19.
PVAC diwakili Pengerusinya, Mohd Effendey Harun menerima plak penghargaan dan cek tunai berjumlah RM 5,300 sebagai perbelanjaan mengoperasi Pusat Aktiviti dan Agihan Sukarelawan mereka yang beropetasi di Rumah Kebajikan MAIPs, Repoh, dekat Kangar.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi Tuanku Raja Muda berkata, PVAC yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis turut terlibat dalam usaha membantu MAIPs untuk mengagihkan sumbangan CSR yang dilaksanakan pelbagai pihak termasuklah pihak korporat dan agensi kerajaan dari masa kesemasa.
“Kesungguhan para sukarelawan yang tidak mengenal erti penat dan lelah dalam membantu mereka yang memerlukan wajar dihargai serta disanjungi,” tambah Mohd Nazim.
Dalam pada itu, Mohd Effendey amat bersyukur atas penghargaan yang diberikan kepada PVAC oleh pihak MAIPs.
“Kurniaan yang diperkenankan hari ini bukanlah hanya kepada para sukarelawan PVAC sahaja, sebaliknya ia juga merupakan penghargaan buat semua sukarelawan di negeri Perlis,” jelas beliau.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Mohammad Hazam Ismail.