Nasional

Raja Muda Perlis ingatkan rakyat elak langgar SOP

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan kepada seluruh rakyat di negeri ini supaya mengelakkan diri daripada melakukan sebarang bentuk perlanggaran SOP yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mendedahkan diri mereka kepada virus Covid-19 dalam tempoh Plan Pemulihan Negara, Fasa 2 pada ketika ini.

Tambah baginda lagi, seandainya Perlis berjaya beralih ke Fasa Tiga, Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang semua harapkan sekarang berikutan kadar vaksinasi penduduk di negeri ini yang dijangka mencapai 40 peratus menjelang hujung bulan Julai ini, namun, sebagai rakyat yang bermentaliti kelas pertama dalam tindakan, kita masih perlu untuk terus mengamalkan penjarakan sosial terutamanya di tempat-tempat yang sesak dalam melaksanakan aktiviti harian termasuklah di pasar awam dan pasar raya sebagaimana yang sering diperingatkan oleh pihak berkuasa.

Foto: Istana Arau

Pada 19 Julai 2021, sebanyak 49.8% (1 dos) dan 36.4% (2 dos) dewasa di negeri Perlis telah diberikan vaksin.

Menurut Tuanku Raja Muda lagi, ‘Adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap individu untuk terus menerus memastikan penjarakan sosial pada sebilang masa khususnya ketika berada di tempat-tempat sesak dan berisiko, agar terhindar dari dijangkiti virus yang mampu membunuh ini’.

‘Selain daripada itu, amalan tidak memakai pelitup separuh muka dengan cara yang betul untuk melindungi bahagian hidung dan mulut ketika di tempat awam serta tidak menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan di premis-premis yang dikunjungi tidak akan memberikan sebarang makna dan amat berisiko tinggi untuk terus dijangkiti’ jelas baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berangkat mengiringi Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menunaikan solat sunat Aidiladha di Dataran Istiadat Istana Arau bersama-sama anak-anak kariah Kota Raja Arau pada pagi semalam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew terus menasihatkan masyarakat supaya tidak menggunakan surat kebenaran berkerja bagi tujuan pergerakan merentas negeri tanpa kawalan khasnya dengan memasuki zon merah dan kemudian balik semula kepangkuan keluarga.

Juga, ‘Elakkanlah daripada menganjurkan atau hadir ke majlis-majlis secara sulit di lokasi tertutup yang melibatkan jumlah pengunjung yang ramai bukan dari kalangan yang duduk serumah dan tidak ada kawalan penjarakan. Sebagai contoh sambutan hari jadi, ulang tahun perkahwinan, meraikan kejayaan tertentu dan sebagainya secara tertutup dalam premis persendirian’ tegas beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button