BeritaNasional

Raja Muda Perlis harap UniMAP terus cemerlang

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap semoga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan terus berada pada kedudukan terbaik, cemerlang dalam pelbagai aspek serta menjadi pakar rujuk yang sentiasa diyakini oleh pelbagai pihak di dalam dan juga luar negara.

Baginda percaya, jika kesemua pihak mengutamakan prinsip ketelusan, tanggungjawab dan etika menuntut ilmu serta tugasan seharian, ia secara tidak langsung memberi impak positif kepada UniMAP untuk menjadi sebuah institusi yang diyakini dan berwibawa. Sedikit kesilapan pasti merosakkan reputasi institusi ini ibarat “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian ‘Sidang Pertama Bagi Istiadat Konvokesyen Ke 14 UniMAP, Tahun 2019’ yang diadakan di Dewan Ilmu Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra pagi tadi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Tuanku Pro Canselor universiti.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad, Timbalan-Timbalan Naib Canselor serta pengurusan tertinggi universiti.

Related Articles

Baginda yang juga Tuanku Canselor UniMAP turut menambah bahawa para graduan pasca siswazah (Sarjana dan PhD) pelbagai bidang memperoleh Ijazah dengan melakukan penerokaan ilmu menerusi hasil kajian mendalam masing-masing.

Pelbagai rujukan telah dikaji sehingga menghasilkan dapatan ilmu baharu yang kemudiannya disatukan dalam penulisan tesis dan jurnal. Ilmu ini kemudiannya dibentangkan pula dalam himpunan jaringan kerjasama penyelidik di seluruh dunia bagi membolehkan ia terus dikongsi dan disebar luaskan serta pada masa yang sama mendidik diri kita supaya menghormati kepelbagaian idea. Dan harus diingat, kesemua proses ini tidak dapat ‘lari’ dari integriti dan etika akademik yang akan meletakkan imej dan reputasi penyelidik pada tahap yang tertinggi.

Baginda juga pasti kajian dan penyelidikan masing-masing tidak akan terhenti di sini malah ada kalangan graduan akan melangkah ke alam akademia sebagai ahli akademik. Justeru, tekankanlah etika akademik dalam menjalankan proses kajian dan penyelidikan termasuklah mengelakkan plagiarism, pemalsuan dokumen atau penipuan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pengerusi serta seluruh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Pengurusan Tertinggi serta seluruh warga Universiti dari dahulu sehinggalah sekarang ini di atas segala komitmen yang diberikan dalam meningkatkan lagi reputasi UniMAP.

Di istiadat sidang pertama pada kali ini tersebut baginda turut menganugerahkan kepada Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan, Datuk Hussamuddin Yaacob – Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dan Lau Kean Cheong Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan selain 114 anugerah Doktor Falsafah Phd dan 149 orang di peringkat Sarjana.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button