Nasional

Raja Muda Perlis bangga prestasi AJK Fatwa Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail amat berbangga dengan keanggotaan Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis yang terdiri daripada pelbagai pakar dalam bidang masing-masing. Ini memberi nilai kelebihan bagi menghasilkan kajian-kajian fatwa yang lebih bermutu dan menyelesaikan permasalahan serta memberi panduan kepada masyarakat.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berharap segala program Kajian Dan Penyelidikan yakni ‘R&D’ dapat terus diperkasakan lagi di masa hadapan bagi mencapai hasrat ini.

Demikian titah baginda selepas berkenan menyempurnakan penandatanganan ‘Watikah-watikah Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis’ yang melibatkan ‘Tauliah Umum Khas’ (2 orang), ‘Lulus Temuduga Tauliah Mengajar Agama Islam Sesi 1/2020’ (17 orang) dan
‘Pembaharuan Tempoh Tauliah’ (20 orang) disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri di Istana Arau.

Tambah Tuanku Raja Muda, sepanjang pembentukan institusi kefatwaan di Perlis telah banyak lonjakan dan perubahan berlaku. Dahulu ia dikenali sebagai Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis dan digantikan dengan nama Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada tahun 2010. Bilangan Ahli Jawatankuasa ditambah daripada 9 orang ahli kepada 15 ahli pada tahun 2012 yang melibatkan pindaan kepada Enekmen Pentadbiran Agama Islam Perlis.

Senarai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti, Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin terdiri daripada Profesor Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd. Radzi Haji Othman, Datuk Alim Setia Ahmad Jusoh, Profesor Dr. Basri Ibrahim, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Datuk Dr. Johari Mat, Ustaz Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, Profesor. Madya Dr. Azman Mohd Noor, Profesor Madya Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, Profesor Madya. Dr. Mohd Akram Datuk Dahlan, Dr. Kamilin Jamilin dan Dr. Ahmad Sufian Che Abdullah selain daripada Timbalan Mufti Negeri.

Untuk rekod, Perlis di peringkat awal COVID-19 melanda, telah berjaya melakukan tindakan-tindakan terpuji. Tindakan pantas MAIPs dan fatwa-fatwanya terutama dalam penutupan masjid untuk Solat Jemaah, Jumaat dan Hari Raya telah membantu negeri ini menghadapi ancaman. Ketika itu, kita bukan sahaja mendahului negeri lain, bahkan di peringkat antarabangsa juga. Kemudian Perlis terus mendahului dalam menentukan jumlah kehadiran ke masjid untuk solat Jumaat dan seumpamanya sehingga diikuti pula negeri-negeri lain.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button