NasionalNegeri

Raja Muda lancar Lorong Rakyat Bank Rakyat di Kampung Seberang Ramai

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan projek Lorong Rakyat Bank Rakyat di Program Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaannya, Ahmad Shahril Mohd Shariff serta Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Suriani Datuk Ahmad yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Suriani semasa berucap, memaklumkan bahawa tujuan pelaksanaan inisiatif penjenamaan Bank Rakyat di Kampung Warna-Warni Seberang Ramai dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis tersebut adalah sebagai usaha pihak Bank menyokong aktiviti pengindahan kawasan kampung nelayan ini selain dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dari segi pembangunan ekonomi melalui aktiviti eko-pelancongan.


“Bank Rakyat amat berbesar hati dalam membantu melaksanakan pelbagai aktiviti pengindahan kampung antaranya seperti Inisiatif Lorong Rakyat yang diceriakan dengan hiasan payung yang digantung sebagai lelangit bagi menghidupkan suasana lorong kecil di kampung,”katanya.

Selain itu, katanya juga melaksanakan aktiviti bergotong-royong mengecat 16 buah rumah bersama warga kerja cawangan Bank Rakyat Arau dan Kangar serta penduduk kampung yang merupakan salah satu aktiviti kesukarelawanan program BAKTI RAKYAT Bank Rakyat.

Tambah beliau, pada masa yang sama Kebun Nuri Nutrisi Bank Rakyat iaitu kebun komuniti lestari turut diwujudkan di kampung berkenaan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu penduduk kampung dalam kalangan B40 untuk menjana pendapatan secara lestari dengan menguruskan tanaman yang hasilnya boleh dijual bagi meningkatkan ekonomi mereka selain menjamin sekuriti makanan.

Pada kesempatan yang sama Raja Muda menghargai dedikasi serta semangat ditunjukkan yang membuktikan bahawa Bank Rakyat bukan sahaja merupakan institusi kewangan yang mementingkan prestasi tetapi turut peka dan mengambil berat terhadap keperluan dan kebajikan masyarakat luar bandar.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin, inisiatif Lorong Rakyat ini adalah bertepatan dengan usaha untuk mengangkat kawasan kampung nelayan ini sebagai salah satu pilihan destinasi pelancongan.

Sesungguhnya, aspirasi transformasi ini memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi penduduk setempat’.

Baginda juga percaya bahawa inisiatif ini yang berorientasikan kerja kesukarelawanan dan khidmat masyarakat seperti ini sudah tentu akan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat setempat. – SM

(Visited 128 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button