RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berharap sambutan Tahun Baru Cina kali ini penuh dengan semangat kasih sayang, saling menghormati, bertolak ansur dan perpaduan terus mekar segar di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara Malaysia ini umumnya dan Perlis secara khususnya.
Ucapan yang sama turut diucapkan oleh anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Demikian dititahkan oleh Raja Muda selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Uthman Affan, Kampung Surau dekat Kangar baru-baru ini.
Majlis yang dianjurkan oleh MAIPs di masjid-masjid sekitar negeri ini tersebut bertujuan untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf yang memerlukan.
Di majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan dari MAIPs berjumlah RM700 secara tunai kepada 70 asnaf dari kalangan anak kariah di Kampung Sentua dan 70 lagi dari kariah Kampung Surau dengan jumlah penuh pada kali ini bernilai RM98,000.
Turut hadir ke program tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari.
Sementara itu, Dr Ismuni memaklumkan bahawa
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis akan terus menjalankan program yang selari dengan dasar kerajaan melalui Kertas Putih Kesihatan yang mensasarkan penjagaan kesihatan melalui pemerkasaan saringan kesihatan dan rawatan awal kepada pesakit.
Antaranya termasuklah kerjasama antara JKN Perlis dengan MAIPs bagi saringan kesihatan kepada asnaf yang terpilih melalui program Kayuhan MAIPs Peduli pada tahun ini sebagai kesinambungan kepada inisiatif yang dilaksanakan pada sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, konsep kerjasama pintar ini dapat merealisasikan aspirasi tonggak Kertas Putih Kesihatan dalam melahirkan negara yang sihat amnya, dan khususnya untuk rakyat Perlis melalui peralihan paradigma daripada ‘sick care’ kepada ‘health care’.
“Semoga jalinan kerjasama pintar ini dapat diteruskan dan disebarluas kepada pelbagai agensi rakan strategik yang lain di negeri Perlis”, tambah beliau lagi. – SM
BACA BHPetrol rai pelanggan Program Sambutan Tahun Baru Cina dan Balik Kampung dengan Selamat