JenayahNasionalNegeri

Dua nelayan Thailand ditahan ceroboh perairan negara

TIDAK cukup dengan menceroboh perairan sehingga melepasi sempadan negara lain, hasil laut juga dikaut sekali.

Bagaimanapun tindak-tanduk nelayan asing ini akhirnya berjaya dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis.

Bot nelayan asing yang ditahan bersama dengan udang lipan oleh anggota Zon Maritim Kuala Perlis. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata,
bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis ketika itu melakukan rondaan Op Aman dan Op Tiris 3.0 di sekitar perairan Perlis telah mengesan bot berkenaan.

Beliau berkata, bot berkenaan juga didapati dalam keadaan yang mencurigakan.

“Bot berkenaan telah ditahan pada kedudukan 5.4 batu nautika dari barat muara Sungai Baru, Perlis, semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Hashim berkata, hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit berpengkalan di Thailand sedang melakukan aktiviti menangkap udang lipan menggunakan bubu dalam keadaan gelap.

Beliau berkata, bot berkenaan dikemudikan seorang tekong dan seorang awak-awak warga Thailand yang berumur 28 dan 30 tahun.

Katanya, bot dan hasil laut dianggarkan bernilai RM20,00 telah dirampas bersama dengan dua suspek juga telah dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, Perlis diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 15 (1) (a) iaitu menangkap ikan dan sebagainya oleh vesel penangkapan ikan asing di perairan perikanan Malaysia tertakluk kepada subseksyen (2) iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dan Akta Imigresen  1959/63, Seksyen 6 (1) (c) iaitu  tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian MERS 999. – SM

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button