Nasional

Rahsia Khairul Bazli dapat semua A dalam SPM

LEBIH memfokuskan hafalan al-Quran sebelum tamat persekolahan bukan halangan bagi Khairul Bazli Sazali, 17, memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Khairul Bazli yang memperoleh 8A berkata, beliau sama sekali tidak menyangka usaha keras untuk menghabiskan hafalan 30 juzuk al-Quran ‘dihadiahkan’ dengan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

“Melihat kepada pencapaian dalam peperiksaan sebelum ini, secara jujur, saya sangat terkejut menerima keputusan hari ini kerana tidak meletakkan harapan tinggi untuk memperoleh semua A, terutama mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Apatah lagi dalam masa sama, saya juga berazam selain menumpukan kepada mata pelajaran akademik, ingin menghabiskan hafalan al-Quran sebelum tamat sekolah. Menjadi rutin harian saya akan bangun awal pagi untuk menghafal al-Quran, manakala di sekolah dan waktu siang saya akan memberi tumpuan kepada mata pelajaran akademik,” katanya.

KHAIRUL Bazli Sazali (tengah) menerima cenderahati pelajar cemerlang yang disampaikan oleh Pengetua Sekolah Tinggi Islam As-Sofa, Norbadrulzaman nordin (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh ibu dan bapanya.

Tidak dinafikan bukan mudah, namun berkongsi rahsia kejayaannya, bekas pelajar Sekolah Tinggi Islam As-Sofa itu mengakui, berkat menghafal al-Quran sedikit sebanyak menjadikan mata pelajaran peperiksaan SPM yang diambil terasa lebih mudah.

“Kejayaan ini juga hasil sokongan daripada ibu bapa dan guru-guru, benarlah kata mereka kelebihan membaca dan menghafal al-Quran ini umpama cahaya ilmu, yang akan mempermudahkan kita dalam urusan menuntut ilmu.

“Alhamdulillah, saya dapat buktikan bahawa tiada yang mustahil untuk berjaya apatah lagi dengan mempelajari al-Quran dan pendidikan agama,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button