Berita

MyUS Venture sumbang RM20,000 kepada MAIPs

MyUS Venture Partners Sdn. Bhd. menyumbangkan RM20,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam satu majlis yang diadakan bersempena program berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke -12 bagi tahun ini dianjurkan oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis yang diadakan di perkarangan Masjid Al Hasan, Kg Jejawi Dalam, Perlis baru-baru ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullalil berkenan berangkat menerima sumbangan tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nellsen Young dan turut disaksikan oleh Pengerusinya Datuk Rashidi Hasbullah.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim.

Turut serta dalam program kali ini ialah pengurusan syarikat European Credit Investment Bank Ltd yang dihadiri oleh Pengarah Eksekutifnya, Ken Lim dan Pengarah Pembangunan Perniagaan, Tee Ting Cham.

Seramai 150 pasangan suami isteri asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Masjid Tuanku Syed Putra, Kg. Jejawi Dalam dan juga Kg. Behor Empiang hadir bagi menerima agihan zakat keluarga masing-masing daripada pihak MAIPs yang dikurniakan oleh baginda.

Turut diadakan ialah perasmian projek pembangunan sosio-ekonomi asnaf MAIPs yang melibatkan perniagaan kueh muih yang diusahakan oleh Kamariah Saad, 52 tahun (No Tel : 0124335480) beralamat di No 10 Jalan Mesra 5, Taman Mesra Jejawi dan telah beroperasi sejak beberapa tahun yang lalu serta telah pernah mendapat sumbangan MAIPs berupa Bantuan Modal Pusingan RM800 (Februari 2013) dan Bantuan Peralatan RM2,800 (Februari 2020) menjadikan amaun penuh RM3,600.

Terdahulu, turut diadakan ialah ‘Tayangan Video Kesihatan’ dan juga ‘Pemeriksaan Kesihatan’ yang dilaksanakan oleh para pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis ke atas kesemua asnaf terpilih yang diundang hadir.

Tuanku Raja Muda dan kumpulan berbasikal TTG Perlis tidak melepaskan peluang untuk singgah di tapak ‘Pesta Angin Timur 2020’ yang dilalui di Jalan Lintasan Tengah, Kampung Oran, Mata Ayer yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis bersama Kerajaan Negeri dan seterusnya merasmikan ‘Laman Jerami Kingdom’ yang dihasilkan oleh Pejabat MADA Negeri Perlis dengan kerjasama Pejabat Tenaga Nasional Berhad Negeri Perlis.

(Visited 535 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button