Rahsia kejayaan Singapura yang harus kita pelajari, bukan cemburui
KITA bikin, Singapura bikin 10 kali lebih baik daripada kita.
Kita bina UTC. Singapura bina Tampines Hub 10 kali ganda lebih hebat daripada UTC. Selain terdapat kaunter semua agensi kerajaan, hab berkenaan lengkap dengan stadium bola, kolam renang, jim, trek joging, skrin besar panggung dan segalanya di satu tempat.
KLIA2 kelihatan seperti gudang petai apabila dibandingkan dengan Lapangan Terbang Changi. Lumba Formula 1 pada sebelah malam di litar dalam bandar membunuh Formula 1 Malaysia.
Belum lagi dicerita pelbagai tarikan pelancongan yang terdapat di negara pulau itu.
Mengapa Singapura sentiasa di hadapan kita? Apa rahsianya?
Persoalan itu terjawab ketika saya melawat dua buah universiti di Singapura di bawah program Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) International Leadership Mobility 2024.
Dua buah universiti itu adalah National University of Singapore (NUS) yang berada pada ranking lapan dunia. Sebuah lagi Singapore University of Social Sciences (SUSS).
Raja Muda Perlis selaku Canselor UniMAP bijak memilih dua buah universiti itu kerana kedua-duanya mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembangunan negara republik itu.
Ketika kita sibuk melahirkan tenaga mahir, Singapura melalui NUS telah melangkah ke hadapan apabila menekankan kepada memanusiawi tenaga mahirnya.
Mereka menggabungkan pengajian kemanusiaan dengan kejuruteraan, sesuatu yang tidak dibenarkan di negara kita. Jika universiti teknikal seperti UniMAP tidak dibenarkan menawarkan kursus kemanusiaan, apatah lagi digabungkan dengan subjek kemanusiaan.
NUS ranking kelapan dunia menuju ke arah itu kerana mahu melahirkan profesional yang mempunyai nilai kemanusiaan. Bahkan mereka mempunyai kursus pengajian Melayu. Terdapat pelajar cina dari China yang fasih berbahasa Melayu, bahkan menulis buku tentang Lembah Bujang. Ini memang menyebabkan saya berasa malu, kerana saya melawat Lembah Bujang semasa sekolah rendah dan tidak mampu menghargai apa yang kita ada.
SUSS pula berperanan tidak kurang hebat kerana bertanggungjawab menyediakan kursus-kursus dan pengajian untuk semua lapis serta golongan rakyat Singapura. Dan lebih menarik ia disubsidi oleh kerajaan. Bermakna pengajian di SUSS adalah percuma. Siapa sahaja yang mahu meningkat atau mencuba kemahiran baharu, ada universiti yang menyambut mereka dan ia percuma.
Contohnya saya seorang wartawan mahu menjadi usahawan, saya boleh belajar secara percuma. Tidak perlu membayar ribuan ringgit untuk mengikuti sifu-sifu yang belum tentu berhasil dan tidak mendapat pengiktirafan secara rasmi.
Dalam erti kata yang lebih tepat adalah Singapura memberi pancing kepada rakyatnya.
Kami juga dimaklumkan setiap pembangunan yang dilaksanakan di Singapura adalah selepas kajian terperinci dijalankan. Sebab itulah di negara berkenaan tiada bangunan terbengkalai dan terbiar atau menjadi projek gajah putih.
Di negara ini kuasa dikuatkuasakan dan bukan disalahgunakan. Lihatlah mantan menteri pengangkutannya yang membawa masuk F1 ke Singapura bakal dihadapkan ke mahkamah hanya kerana menerima hadiah tiket F1 dan sebuah basikal Brompton.
Negara berkenaan sentiasa mempertahankan integriti jentera kerajaan kerana ia faktor utama menarik pelaburan asing.
Banyak yang boleh dipelajari dari Singapura.
Perlis khususnya sebagai sebuah negeri paling utara dan paling kecil mempunyai kelebihan tersendiri. Kecil sebenarnya adalah satu kelebihan bak pepatah; Kecil-kecil cili padi.
Contohnya selain UniMAP dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Perlis mempunyai Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Antara strategi utamanya ialah untuk membangunkan pemikiran masyarakat dan kebitaraan Perlis melalui penganjuran program pendidikan dan perubahan minda khususnya kepada anak-anak, guru-guru dan ibu bapa melalui perantaraan sekolah.
Perlis sudah berada separuh jalan apa yang dilaksanakan oleh Singapura dalam membina tamadun sendiri.
Mudah-mudahan apa yang diusahakan oleh Perlis turut menjadi agenda nasional agar semua bergerak seiring dan akhirnya tidak lagi ketinggalan oleh negara tetangga.