Putra bakal menuju kehancuran – Mohd. Aluwi
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 12 April – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dilihat tidak lagi relevan untuk berdiri sebagai sebuah parti yang ditubuhkan untuk memperjuangkan rakyat seperti mana UMNO wujud sejak sebelum merdeka.
Bekas Pengerusi Perhubungan Putra negeri Melaka, Prof. Dr. Mohd. Aluwi Sari berkata, parti itu bakal menuju kehancuran jika masih mengamalkan kepimpinan ‘diktator’ apabila segala keputusan hanya dibuat diputuskan oleh Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali dan bukannya daripada Mesyuarat Dewan Tertinggi (DT).
Menurutnya, jika amalan Putra ditentukan segalanya oleh Presiden, tidak mustahil beberapa negeri lain
bakal mengambil keputusan yang sama seperti di Melaka apabila empat Ketua Bahagian serta 500 ahli
mengumumkan keputusan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta semalam.
“Saya serta tiga lagi Ketua Bahagian sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ibrahim selaku Presiden
sejak menubuhkan Putra pada 8 Mei 2019.
“Keputusan yang dibuat untuk keluar daripada Putra adalah tepat dan wajar kerana kami tidak merasa
menyesal dengan pendirian yang dibuat ini dan mungkin ada beberapa negeri lain bakal mengikut jejak
langkah ini,” ujarnya dalam sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia semalam.
Mohd. Aluwi mendedahkan nasib lima calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November tahun lalu langsung tidak dibantu oleh Putra sama ada segi kewangan ataupun membantu berkempen.
Beliau berkata, Presiden meminta lima calon yang dipilih bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) mengeluarkan duit sendiri sewaktu membayar wang deposit Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak
berkuasa tempatan (PBT).
“Yang buat saya kecewa apabila Ibrahim hanya membantu calon bertanding di Gadek manakala empat lagi
terpaksa menggunakan duit gaji dan wang simpanan untuk bertanding di PRN Melaka.
“Kami sudah tidak tahan dengan layanan pusat terhadap ahli parti di Melaka yang dibiarkan terabai selepas
lima calon Putra tewas di Melaka serta hilang wang pertaruhan,” ujarnya yang merupakan calon parti itu di
kerusi Pengkalan Batu dan telah hilang deposit kerana sekadar memperoleh 82 undi.
Katanya, ekoran kekalahan pada penampilan sulung parti itu ramai dalam kalangan ahli Putra di negeri ini
mula mempersoalkan mengenai hala tuju parti itu khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)
nanti.