Nasional

Bazar Aidilfitri Mega Klebang 2022: Peniaga raih untung berganda

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 12 April – Peniaga di Bazar Aidilfitri Mega Klebang 2022 di sini sudah mampu mengukir senyum
melihat pelbagai barangan yang dijual sejak pada hari pertama umat Islam mula berpuasa.

Baru seminggu berniaga rata-rata peniaga sudah dapat balik modal untuk membayar sewa tapak dan khemah
berharga RM5,000 di Bazar Aidilfitri Mega Klebang 2022 dekat sini.

Situasi itu jauh berbeza pada bazar yang sama tahun lalu sewaktu pandemik Covid-19 menyebabkan ada
di antara peniaga rugi dan tidak mendapat keuntungan.

Bagi penjual kosmetik dan produk kesihatan Aida Rich Empire, Roszaida Che Tun, 41, berkata, tidak sampai
empat hari berniaga hasil daripada jualannya sudah dapat membayar sewa tapak berharga RM5,000.

Menurutnya, dia terkejut melihat kunjungan orang ramai sejak bazar itu dibuka dan hampir tidak menang
tangan melayan pelanggan yang hadir berbanding beberapa tahun sebelum ini.

“Tidak pernah saya berniaga di bazar dan inilah kali pertama dalam tempoh tiga hari sudah dapat modal
untuk bayar tapak sewa,” ujarnya yang menjual pelbagai jenama kosmetik dengan harga serendah RM3 hingga
RM10.

Bagi peniaga beg tangan wanita, Noor Azah Azman, 29, berkata, dia melahirkan rasa syukur perniagaan kali
ini amat menguntungkan setelah hampir dua tahun tidak dapat berniaga akibat Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP).

Katanya, kehadiran ramai pengunjung sejak hari pertama bazar beroperasi di Kelebang benar-benar
mengejutkan apa lagi kerajaan membenarkan tempoh tutup perniagaan sehingga pukul 2.00 pagi.

“Alhamdulillah, tidak sampai seminggu berniaga saya dapat balik modal bayar sewa tapak cuma baki beberapa
hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri ada peluang nak cari untung lebih sikit,” ujarnya.

Dia yang turut menjual baju inner, dompet dan stokin berkata, perniagaan di bazar kali cukup melegakan
selepas terhimpit tidak dapat berniaga sejak dua tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

Bagi peniaga songkok buatan sendiri Zulkifli Bujang, 41, berkata, peniagaan kali ini paling melegakan
apabila dalam tempoh beberapa hari sejak bazar ini dibuka pada hari pertama kedatangan Ramadan dia menerima ramai pelanggan.

“Syukur dalam beberapa hari saya dapat balik modal bayar tapak sewa sebanyak RM5,000 dan kali ini dapatlah
rasa rezeki lebih sikit.

“Tahun lalu saya berniaga di sini tapi tidak menguntungkan prosedur operasi standard (SOP) ketat buat peniaga bazar serta sekatan kehadiran ramai pengunjung,” ujarnya.

(Visited 1,035 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button