Nasional

Puteri Sharifah Khatreena saran gilap potensi kendiri ketika usia muda

Masa yang paling efektif dalam membentuk jati diri dan menggilap potensi kendiri seseorang dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat dan watan adalah ketika usia muda belia.

Anak muda harus terus berkarya, mencetus idea dan pandangan ke arah masa depan negeri dan negara yang lebih gemilang.

Pada masa yang sama, dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang, ditambah perubahan persekitaran ekonomi dan sosial pasca penularan Covid-19, golongan belia harus memanfaatkan teknologi untuk mencari ruang dan peluang untuk terus berbakti. Di samping kesibukan dalam mempersiapkan diri, golongan muda juga harus bergerak bergandingan tangan dan bahu, merancang dan mencorak ke arah membina bangsa yang berperadaban.

Demikian ucapan Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, anakanda sulung kepada Tuanku Raja Muda Perlis ketika merasmikan ‘Program Perlis Youth Takeover Tahun 2020’ yang diadakan di Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar.

Ketibaan Puteri Sharifah Khatreena ke program bagi menjayakan agenda pemerkasaan warga belia dan anak muda di negeri Perlis yang dianjurkan secara bersama oleh Impact Malaysia, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis serta PVAC itu disambut oleh Pengerusi Perlis Volunteer Action Community (PVAC), Effendey Harun.

Turut hadir ke ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Mohamad Hazam Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Puteri Sharifah Khatreena lagi, dengan asas dan perancangan kemajuan yang sedang dirancang di negeri Perlis, melalui beberapa projek kemajuan berimpak tinggi seperti pewujudan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), pembinaan Perlabuhan Darat Perlis, pembinaan Jeti Bersepadu di Sanglang selain pelaksanaan ‘Perlis Go Digital’, memerlukan anak-anak muda yang dapat memenuhi dan bersedia mengambil alih pengurusan dan keperluan masa depan, selari dengan nama program berkenaan iaitu ‘Perlis Youth Takeover’.

Puteri Sharifah Khatreena juga turut menarik perhatian semua, untuk sentiasa cakna dengan pelbagai inisiatif yang dirancang oleh pelbagai agensi dan jabatan yang memerlukan penglibatan golongan belia termasuklah Projek Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang mengalu-alukan penyertaan dan sumbangan golongan muda untuk tampil kehadapan bagi melibatkan diri secara langsung mahupun tidak langsung.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button