Politik

Kelulusan Belanjawan 2021 kemenangan kerajaan PN, rakyat – Zafrul

KEJAYAAN meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 selepas bacaan ketiga semalam disifatkan sebagai kemenangan kepada kerajaan Perikatan Nasional dan rakyat.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tahun 2020 bukanlah tahun yang biasa dan semua yang terlibat dalam menjayakan Belanjawan 2021 tersebut disifatkan sebagai luar biasa.

“Kelulusan Belanjawan 2021 adalah kemenangan bukan sahaja bagi kerajaan Perikatan Nasional, tetapi lebih-lebih lagi bagi rakyat, perniagaan dan ekonomi negara, terutamanya dengan wabak Covid-19 yang masih di sekeliling kita.

“Tidak dilupakan juga, sumbangan warga Kementerian Kewangan, agensi-agensi MOF dan juga agensi-agensi kerajaan lain yang telah memberi komitmen sepenuhnya tanpa mengenal penat lelah serta mengambil kira lebih 6,600 cadangan merentasi kesemua negeri di Malaysia, bagi merangka Belanjawan 2021 yang komprehensif.

“Ini disamping kesemua usaha menyediakan dan melaksanakan tidak kurang daripada empat pakej rangsangan ekonomi sejak bulan Mac, demi rakyat, perniagaan dan ekonomi negara tercinta,” kata Tengku Zafrul.

Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 selepas bacaan ketiga yang diputuskan melalui undian belah bahagian.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan perkara itu berkata, seramai 111 ahli Parlimen menyokong, 108 menolak dan seorang tidak hadir.

Undian belah bahagian dijalankan selepas lebih 15 ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi belah bahagian.

Rang undang-undang yang dibentangkan Tengku Zafrul diluluskan selepas bacaan kali ketiga menerusi undian belah bahagi.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Perdana Menteri atas sokongan dan keyakinan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada saya dan juga warga Kementerian Kewangan dalam memikul amanah merangka, membentang, menambahbaik serta mempertahan Belanjawan 2021.

“Terima kasih kerana sentiasa mendengar pandangan dan cadangan kami serta memberi nasihat dan panduan secara berterusan,” kata Tengku Zafrul.

Menurunnya, beliau dan Timbalan-Timbalan Menteri Kewangan I dan 2 serta warga Kementerian bersedia untuk mengambil langkah seterusnya iaitu melaksanakan Belanjawan 2021 dengan cepat dan tepat, serta penuh dedikasi dan amanah.

Tengku Zafrul juga berharap Belanjawan 2021 akan meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara dan mencapai matlamat yang dihasratkan.

“Moga kesemua rakyat dapat dibantu, perniagaan dapat diperkasa, dan ekonomi dapat diperkukuh.

“Moga wabak Covid-19 dijauhkan, dan kesihatan didekati. Walau apa-apa pun cabaran yang mungkin berbangkit (dan sememangnya akan ada kekangan, ujian serta halangan), namun didoakan kita semua dikurniakan kecekalan, ketahanan dan kesabaran. Moga niat ikhlas kita diberkati, usaha dan amanah kita dirahmati,” katanya.-SM

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button