Pusat pelancongan Kadamaian dibuka semula secara berperingkat
PUSAT pelancongan di kawasan Kadamaian, Kota Belud, telah dibuka secara berperingkat-peringkat sejak awal bulan lepas dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Presiden Pusat Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon, bagaimanapun berkata, masih ada segelintir pengusaha pelancongan yang belum bersedia menerima pelancong susulan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memerlukan masa untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Bermula awal bulan Jun, ada pengusaha yang mula beroperasi dengan mematuhi SOP yang ditetapkan seperti menyediakan mesin pengimbas suhu badan dan pensanitasi tangan di pintu masuk pusat pelancongan mereka.
“Sehingga 26 Jun lepas hanya 22 daripada 65 pengusaha yang berdaftar dengan KATA telah membuka pusat pelancongan mereka,” katanya kepada BERNAMA hari ini.
Beliau turut mengalu-alukan pengusaha pelancongan yang belum berdaftar dengan KATA segera mendaftar kerana banyak manfaat yang bakal diperoleh termasuk dapat mengikuti kursus kemahiran berkaitan yang dianjurkan persatuan.
Pusat Pelancongan Kadamaian di Kota Belud yang terletak kira-kira 85 kilometer dari Kota Kinabalu, mula menerima pelancong sejak lebih empat tahun lepas.
Antara aktiviti riadah disediakan untuk pelancong di Kadamaian ialah meneroka hutan, mendaki bukit, arung jeram di Sungai Kadamaian, meninjau unggas, menatap bintang-bintang, pelancongan pendidikan dan kebudayaan tradisi. –SM