Nasional

Kes Covid-19 kini tinggal 85 orang

KES aktif Covid-19 di Malaysia kini tingga 85 orang sahaja. Ini pertama kali kes Covid-19 di bawah 100 kes sejak Perintah Kawalan pergerakan diperkenalkan kira-kira tiga bulan lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  62 kes telah pulih dalam tempoh 24 jam dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,437 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga pukul 12 tengah hari, terdapat tiga kes baharu yang telah dilaporkan. Satu kes jangkitan baharu merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Mangsa adalah merupakan warganegara Malaysia.

Dua kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia. Salah seorang mangsa merupakan kluster Bukit Bintang.

“Ingin dimaklumkan bahawa kes positif baharu ini telah dikesan hasil daripada saringan ulangan dalam tempoh mereka di pusat kuarantin.

“Mereka masih diasingkan di pusat kuarantin, manakala kes positif Covid-19 dimasukkan ke hospital; justeru tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat. Punca jangkitan kluster ini adalah masih di dalam siasatan,” kata kenyataan tersebut.

Sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kedua-dua kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes.

Sementara itu terdapat 5,804 individu di bawah arahan kuarantin di rumah (HSO). Daripada jumlah itu terdapat 620 orang masih perlu menjalani ujian.

Menurut KKM seramai 5,184 orang telah diberi pelepasan HSO selepas saringan hari ke-13 didapati negatif.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menjalankan aktiviti pengesanan individu yang perlu menjalani saringan hari ke-13.

“KKM ingin mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil ke atas individu yang didapati melanggar syarat di bawah perintah ini.

“Mereka boleh dikenakan denda atau dipenjarakan atau kedua-duanya. Oleh itu, pengembara yang pulang ke Malaysia diseru agar terus memberi kerjasama kepada pihak KKM dan patuh kepada syarat-syarat di
bawah HSO.

“Ahli keluarga kepada pengembara di bawah perintah ini juga diminta menasihati dan memastikan mereka akur kepada syarat perintah HSO.-  SM

(Visited 50 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button