fbpx
Politik

Dua portfolio exco Selangor yang kosong akan diisi sebelum akhir bulan ini-MB

DUA portfolio exco dalam Kerajaan Negeri Selangor yang kosong akan diisi selewat-lewatnya sebelum hujung bulan ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kekosongan kedua-dua portfolio itu susulan jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan yang disandang wakil rakyat Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari berakhir, selepas parti itu tidak lagi menjadi sebahagian gabungan Pakatan Harapan (PH), sementara penyandang jawatan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamad Talha pula dilucutkan keahliannya daripada PKR.

Beliau berkata, pihaknya baru sahaja menerima surat pelucutan keahlian Haniza daripada PKR namun kerajaan negeri masih lagi membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu meneruskan kerja-kerjanya sementara portfolio exco berkenaan diisi dengan calon baharu.

Kata Amirudin yang juga Pengerusi PKR Selangor, kerajaan negeri masih membenarkan Haniza hadir pada mesyuarat exco semalam namun ADUN berkenaan hanya mempunyai 14 hari bagi membuat rayuan kepada parti terhadap keputusan pelucutan keahliannya.

“Jawatan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar ini adalah portfolio yang kritikal dan kerajaan negeri mahu transisi (pertukaran) dijalankan dengan sempurna pada waktu dan masa yang sesuai.


“Insya-Allah, sebelum Hari Raya Aidiladha dua exco baharu akan dilantik bagi mengisi portfolio ini,” katanya kepada BERNAMA ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Haniza sebagai exco dan kekosongan portfolio Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan ‘SMG Water You Doing? Show Us Your Art!’ anjuran Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini.

Mengulas mengenai persediaan PKR Selangor sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secara mengejut, Amirudin berkata pihaknya sememangnya bersedia bagi menghadapi kemungkinan berkenaan.

Malah katanya, hasil mesyuarat PH baru-baru ini, gabungan parti itu telah mengatur gerak jentera pilihan raya supaya benar-benar bersedia sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat. – SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button