RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu atau Drive Thru Recycle Centre (DTRC) di Pasar Awam Arau, petang semalam. Pusat ini adalah yang kedua dibuka di Perlis.
Ini berikutan sambutan yang menggalakkan oleh diberikan warga Perlis kepada DTRC yang pertama di Pasar Sena Kangar.
Hadir sama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Azizan Sulaiman; Pengerusi SWCorp Malaysia, Datuk Rizalman Datuk Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SWCorp, Ismail Moktar, CEO E-Idaman; Zaki Abdul Aziz Daud; CEO MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah SWCorp Perlis, Shamsuharizal Basir.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga berkenan mendengar taklimat aplikasi idamanXchange oleh Zaki Abdul Aziz Daud.
Aplikasi ini mendapat kolaborasi Boost (aplikasi bayaran atas talian) bagi membolehkan pengguna menebus mata ganjaran kepada tunai untuk digunakan di kedai dan pasar raya yang menggunapakai aplikasi Boost.
Zaki berkata, sehingga kini sambutan menggalakkan daripada warga Kedah and Perlis yang telah mendaftar untuk menggunakan aplikasi ini.
Dalam kenyataan E-Idaman, DTRC ini adalah inisiatif E-Idaman Sdn Bhd (EISB) dengan kerjasama SWCorp Perlis, kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
Sejak Januari hingga Mei 2022, DTRC Kangar telah mencatat jumlah 85,957-kilogram (kg) barangan kitar semula pelbagai kategori dihantar untuk kitar semula oleh warga Perlis.
Perlis mencatat jumlah kutipan barangan kitar semula sebanyak 539,648-kilogram (kg) pada tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding 436,785 kilogram (kg) bagi tahun 2020.
Manakala DTRC Kangar telah menyumbang 104,843-kilogram (kg) bersamaan 19 peratus daripada jumlah kutipan negeri Perlis bagi tahun 2021.
Pusat kitar semula pandu lalu di Kangar dan Arau ini beroperasi pada hari Isnin hingga Sabtu mulai 9 pagi hingga 3 petang kecuali hari Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari. – SM