Nasional

BKM: Durian runtuh untuk 8.6 juta penerima Isnin depan

ISNIN depan, 27 Jun, sebanyak 8.6 juta akan menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang telah diluluskan oleh Kerajaan dengan penerima atau isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Beliau berkata, pemberian itu diberi apabila Kerajaan tidak lagi memberikan subsidi harga ayam, telur dan kenaikan harga barang makanan yang lain.

“Pada awal bulan ini iaitu 1 Jun yang lalu, Kerajaan telah mengumumkan bantuan tunai akan diberikan kepada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat cabaran kos sara hidup.

“Maka hari ini saya mengumumkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri berkata, bantuan ini merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana Kerajaan.

Mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini, Ismail Sabri dalam kenyataan yang sama berkata, Kerajaan mengambil keputusan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.

“Bayaran Fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.

“Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing. Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta.

Bayaran ini akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang,” katanya.

Tambah beliau, setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 (Isnin) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.

“Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40 terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,” katanya. – SM

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button